Fitrah manusia suka dihargai kan, terutamanya wanita. Tapi tak semua wanita akan dapat pasangan yang suka memuji. Ini secara tak langsung akan menjejaskan emosi dan hubungn suami isteri.

Tapi apa yang dikongsikan oleh Ustaz Muhammad bin Abdullah  (Ustaz Amin) ini mungkin akan membantu kita lebih rasional dalam mengharapkan penghargaan. Saya suka ikuti segmen Pesona Azzahra di radio Ikim. Segmen kekeluargaan ini biasanya diisi oleh Ustaz Abdullah bin Amin yang mampu menyampaikan tazkirah santai tapi menusuk tangkai jantung.Hehe.

panduanrumahtangga

Baru-baru ini beliau bercerita mengenai emosi penghargaan dan pengiktirafan. Macam biasa emosi ini juga ada orang yang suka memberi dan ada yang suka menerima.

Emosi penghargaan boleh dikelaskan kepada 4 keadaan.

Keadaan Tinggi

Keadaan tinggi ialah orang yang jenis suka puji orang dan suka dipuji. Orang macam ni biasanya dia suka jaga penampilan diri dan sangat mementingkan pencapaian.

Keadaan Rendah

Orang jenis rendah sangat selektif untuk memberi pujian. Dia hanya menunjukkan pujian bila dirasakan perlu. Dia bukan tidak memuji langsung seperti robot, tapi sangat selektif. Dalam masa yang sama dia sendiri tak selesa untuk dipuji.

Contohnya dalam bahasa Inggeri kita boleh lihat ada orang respon “Thank you” dengan “small matter”. Dan dalam bahasa arab ada yang respon “Syukran” dengan “Tidak perlu berterima kasih dengan kewajipan atasku”. Ini menunjukkan memang ada orang yang tak perlu pada pujian.

thankyou

Keadaan Umbang

Orang jenis umbang suka bagi penghargaan dengan ucap terima kasih pada orang lain. Tapi dia tak suka orang mulut manis dengan dia. Dia iktiraf orang lain, tapi tak selesa orang puji dia. Dia merasakan tak perlu pada pujian manusia.

Keadaan Ambing

Orang jenis ambing tak suka hargai orang lain, tapi dia sangat berkehendak pada penghargaan orang lain. Ini memang haru.haha.

Dalam segmen tersebut Ustaz Abdullah bin Amin juga ketengahkan kajian kes emosi penghargaan ini dalam diri 2 orang pemimpin besar Islam.

Saidina Umar seorang yang mudah memberi pengiktirafan tinggi pada orang lain. Beliau suka puji sahabat, isterinya dan orang lain yang berurusan dengannya.  Tapi beliau sendiri tak kisah untuk terima pengiktirafan.

Beliau berpakaian dengan sangat ringkas yang langsung tidak menggambarkan kedudukan pemimpin negara. Malah beliau pernah membaling pasir pada orang yang memujinya.  Ini kerana beliau tak perlu ada pujian manusia, cukup Allah sahaja untuknya. Dalam hal ini beliau adalah jenis ‘umbang’.

pemimpinislam

Berbeza dengan Saidina Muawiyah. Beliau suka bagi pengiktirafan pada orang lain dan suka jaga penampilan. Kerana pada beliau penampilan yang gah itu akan menunjukkan kehebatan Islam. Dan prinsip ini dihormati oleh Saidina Umar. Saidina Muawiyah adalah jenis ‘tinggi’.

Jadi personaliti ini akan jadi positif bila prinsip yang kita gunakan betul. Dan bila kita faham mengenai konsep ini, kita akan lebih mudah memahami orang lain terutamanya pasangan. Ini semua secara tidak langsung akan membantu kematangan dalam perhubungan.

Dan prinsip paling asas yang boleh dipegang oleh semua orang ada bersandarkan pada hadis Riwayat Al Tirmizi

“Sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, maka dia tidak bersyukur (berterima kasih) kepada Allah”

Jadi walaupun kita tak tahu orang lain tu jenis apa, sentiasalah ringankan mulut untuk berterima kasih. Semoga dengannya kita akan dihitung sebagai hamba yang bersyukur.