Biasanya bila beli mainan untuk anak-anak selalu ada tulis ‘develop fine motor’ kan. Dari soft toy sampailah ke mainan kayu selalu ada label ni pada kotak mainan. Ini menunjukkan perkembangan motor halus adalah penting untuk kanak-kanak.

ok sebelum kita lihat apa kepentingannya, mari kita semak apa maksud ‘kemahiran motor halus’.

Kemahiran motor halus ialah kebolehan kanak-kanak menggunakan anggota badan untuk membuat gerakan. Pergerakan ini melibatkan otot-otot kecil pada tangan, jari tangan, kaki, jari kaki, bibir dan lidah.

Jadinya kebanyakan aktiviti seharian anak kecil memang melibatkan kemahiran motor halus. Ketangkasan (dexterity) ialah kemahiran kanak-kanak dalam menggunakan pergerakan tangan dan jari dalam melakukan aktiviti. Kemahiran ini paling banyak digunakan dalam proses tumbesaran kanak-kanak.

Mainan motor halus

Bermain adalah cara merangsang perkembangan motor yang paling mudah

Perkembangan motor halus penting untuk membantu kanak-kanak melakukan pelbagai aktiviti seharian dan melalui proses pembelajaran dengan sempurna. Contohnya pada usia 3 tahun, anak sudah boleh memegang sudu dengan betul. Jadi dia sudah boleh makan sendiri tanpa bantuan orang dewasa. Dia juga sudah boleh memusing knob pintu sendiri. Penting kan untuk anak jalani kehidupan dengan lebih mudah.

Dan banyak lagi perkembangan yang melibatkan kemahiran motor halus seperti memegang pensel, menggunting, memakai baju sehinggalah menggunakan pisau roti untuk memotong makanan lembut. Dengan perkembangan motor halus yang optimum, anak dapat berdikari lebih awal dan berpeluang meneroka dunia yang lebih luas.

Ibubapa perlu sentiasa mendedahkan anak-anak dengan aktiviti yang dapat merangsang perkembangan motor halus yang lebih optimum.

Aktiviti yang merangsang perkembangan motor halus melibatkan kemahiran meramas, menggentel, mengoyak, mencubit, menguli, memicit, merenyuk, melipat, menguntai, menjentik, dan merenjis

Anak yang kurang menguasai kemahiran motor halus akan ketinggalan untuk mengusai kemahiran peringkat seterusnya. Seperti anak yang masuk sekolah tapi masih belum mahir mengawal pensel, dia akan lambat belajar menulis berbanding rakan-rakannya. Anak ini juga perlu sentiasa bergantung dengan orang lain untuk menguruskan kehidupan.

Pasang butang

Sebagai ibubapa kita perlu sentiasa membantu anak-anak mengasah kemahiran-kemahiran penting dalam hidupnya supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna. In syaa Allah.

Ikuti perkongsian saya mengenai perkembangan motor halus dalam video ini.