Hari ke 3 persekolahan anakanda Fateh. Alhamdulillah semalam urusan pertukaran ke sekolah seisi pagi telah berjaya. Dan hari ni anakanda Fateh sudah melangkah keluar rumah seawal 7 pagi bersama suami. Semoga misi kami untuk memudahkan urusan pemantauan solat terlaksana dengan jayanya. Sekolah seisi pagi lebih fleksibel dengan waktu solat.

Untuk persediaan anakanda Fateh ke darjah 1, kami buat sedikit-sedikit. Persediaan asas dari segi pakaian dan kasut kami beli pada awal bulan 12. Ini mengikut saranan ibu-ibu berpengalaman kerana pembelian pada sangat akhir boleh menimbulkan masalah saiz. Kami juga alami situasi tersebut.

Saya memang rancang dari awal nak belikan kasut Pallas yang guna inovasi kain ‘mesh’. Kelebihan kain ini ia tak menyerap air, jadi lebih cepat kering. Sesuai lah dengan kami yang tinggal di apartment ni nak jemur kasut. Kasut ni juga lebih selesa kerana mempunyai pengudaraan yang baik. Model yang terkini pula sangat ringan dan selesa. Saya dapat semua maklumat ni semasa lawatan ke Karnival Sains 2017.

Tapi agak mengecewakan kerana saiz untuk anakanda Fateh habis di dua tempat yang kami pergi. Jadi terpaksa ambil model kasut yang guna kain mesh tapi berat sikit. Tapi memang bila basuh bahagian dalam agak lambat kering. Tak pa lah, ada rezeki boleh cari yang model ringan tu pulak nanti. Oh ya, dah beli kasut mesti lah beli stokin kan.

Dari segi pakaian pula saya buat belian di supermarket dan kedai pakaian biasa. Saja nak buat perbandingan. Pada penilaian saya, kualiti baju yang dibeli di supermarket dan Kedai Ten Ten ni hampir sama. Kalau ada perbezaan pun mungkin tak sampai 10%. Sangat hampir sama. Cuma apa yang menyebabkan harganya berbeza adalah layanan.

Ketika beli di supermarket, ada promoter yang tanya saiz dan pilihkan baju. Sambil tu bagi cadangan ikut pengalaman dia. Berbeza bila beli di kedai biasa, pandai-pandai kome la nak bawah diri. 😛 Semua urus sendiri. Dari ambil baju, nak cari fitting room, nak tukar saiz dan sebagainya kena buat sendiri. Pekerja kedai semua sibuk nak uruskan hal-hal kedai. Itulah yang membezakan harga baju, kos untuk melayan.

Beg sekolah pula saya pilih beg tanpa roda. Dengan fizikal anakanda Fateh yang kecil, beg beroda akan menambah beban yang dia perlu bawa bila perlu naik tangga. Tapi kebanyakan sekolah memang tempatkan darjah 1 di tingkat bawah. Cuma atas saranan guru sekolah rendah, mereka cadangkan beli beg biasa. Beg beroda ni besar, bila letak kat kerusi tinggal separuh ja tempat duduk anak. Letak kat tepi meja dan tersadung kaki pulak bila nak cepat.

Itu sahaja persediaan pakaian untuk anakanda Fateh. Oleh sebab beli sikit-sikit, takda lah terasa sangat kos perbelanjaannya tu. Nanti saya kongsikan persediaan in dari segi buku dan alat tulis, in syaa Allah.

Apa-apa pun, pada saya yang lebih penting adalah persediaan mental anak-anak untuk melangkah ke sekolah. Pengalaman saya semasa Hari Pendaftaran Darjah 1  menyebabkan saya rasa insaf. Kadangkala kita terlalu memikirkan persediaan fizikal, sehingga lupa untuk sediakan mental anak menghadapi keperluan untuk bersekolah. Semoga kita lebih cakna membuat persiapan mental untuk anak-anak supaya mereka lebih yakin dan gembira melalui zaman persekolahan, in syaa Allah.