Catatan mengenai lambat bercakap adalah satu proses flashback. Ia adalah pengalaman saya hampir 4 tahun lalu. Namun saya catatkan juga di sini buat rujukan diri sendiri dan ibubapa yang memerlukan. Seringkali ibubapa yang mengetahui anak saya pernah mengalami fasa lambat bercakap akan bertanya bagaimana saya keluar dari kepompong itu.

Untuk bercerita dalam mesej, dalam pertemuan-pertemuan singkat adalah sukar. Jadi bila dicatat di sini harapnya lebih mudah mereka yang memerlukan membuat rujukan. Cuma mungkin ada bahagian yang tertinggal, penerangan kurang tepat dan sebagainya kerana ia sudah lama berlalu. Kerana itu bacaan-bacaan di media umum ini sifatnya hanya sebagai pembuka minda.

Tatkala ibubapa sedar anak mempunyai kelainan dalam perkembangan, segeralah bawa berjumpa dengan doktor yang pakar dalam bidang kanak-kanak. Walaupun banyak cabaran membawa anak bertemu terapis pertuturan, tetapi ibubapa akan dapat  melihat perkembangan anak yang lebih cepat, in syaa Allah.

Mengajar Anak Lambat Bercakap

Semalam saya kongsikan mengenai kesilapan saya dalam berkomunikasi dengan anakanda Fateh. Selepas belajar cara yang betul dari terapis pertuturan, saya mula praktikkan. Alhamdulillah dia mudah menurut, jadi kita pun semakin bersemangat untuk memberi rangsangan pertuturan. Mungkin kerana dia sudah boleh menyebut banyak kosa kata, jadi tidak sukar untuk dia mengikuti perubahan yang dilakukan.

Isu anak lambat bercakap ni kebanyakannya sama sahaja. Mereka mempunyai banyak kosa kata tetapi tidak tahu bagaimana bercakap ayat 2 perkataan. Selain itu kebanyakan perkataan yang dia tahu adalah kata nama – epal, bola, cawan, dadu, nama orang, nama tempat. Kebanyakan input kata nama diperolehi dari flashcard, buku ataupun video lagu ABC. Jadi kata nama ini tiada ‘kawan’ untuk gabungkan perkataan itu.

Mengajar Anak Lambat Bercakap

Jadi untuk mengatasi masalah ini, kita perlu buat aktiviti untuk melatih anak membiasakan diri  menyebut 2 perkataan. Dan untuk tujuan itu, anak perlukan lebih banyak kosa kata berbentuk kata kerja dan kata sifat. Kata kerja seperti makan, minum, mandi, lari, lompat yang banyak digunakan dalam kehidupan seharian akan diterapkan dalam aktiviti ini.

Mengajar Anak Lambat Bercakap

Kata sifat yang kebiasaan dekat dengan anak pula seperti cantik, wangi, panas, sejuk dan nama-nama warna. Barulah anak dapat gabungkan kosa kata nama dengan kata kerja atau kata sifat yang sesuai. Itulah asas untuk anak boleh menyebut 2 perkataan.

Untuk membuat aktiviti komunikasi bergambar, ibubapa perlu sediakan bahan bergambar. Cari gambar-gambar clipart yang berkaitan dengan kata kerja. Cetak dan laminated jika perlu. Cari waktu yang anak bersedia untuk duduk dan buat aktiviti bersama ibubapa.

Mengajar Anak Lambat Bercakap

Cara untuk membuat aktiviti ini ialah seperti berikut.

  1. Tunjuk pada gambar budak, sebut nama anak atau saya. Tunggu anak ikut.
  2. Tunjuk pada gambar makan, sebut makan. Tunggu anak ikut.
  3. Kemudian tunjuk gambar budak dan teruskan melalui anak panah ke gambar makan. Sambil tu sebut saya makan’. Ulang beberapa kali hingga anak sebut ‘saya makan’.
  4. Bila anak sudah sebut ayat yang pertama, ulang langkah yang sama untuk gambar main dan mandi.
  5. Buat setakat anak mampu ikut. Jika anak menolak berhenti dan sambung semula bila anak bersedia.

Aktiviti ini boleh dilakukan menggunakan pelbagai kaedah seperti kad-kad kecil atau menggukan kad berpelekat velcro. Asalkan anak bersedia untuk belajar. Dari masa ke semasa tambah lagi kata kerja dan kata sifat lain. Ada pelbagai lagi kaedah untuk membuat aktiviti sebegini seperti yang dikongsikan oleh terapis pertuturan, Puan Ruby Atika di SINI.

Mengajar Anak Lambat Bercakap

Kredit : rubyatika.com

Dalam melatih anak yang lambat bercakap, kuncinya hanyalah konsisten dan kesabaran. Semasa hadir ke sesi terapi pun kadangkala anak tidak memberi kerjasama. Walaupun terapis percakapan mempunyai kepakaran, tetapi mereka juga bukanlah sentiasa dapat mengawal anak. Mereka latih ibubapa untuk cuba lagi di lain masa di rumah.

Selamat mencuba 😀