Anakanda Fateh lahir selepas setahun saya berumahtangga. Dalam kenaifan menjadi ibu muda, saya membayangkan semua perkembangan kanak-kanak berlaku secara semula jadi.Walaupun saya banyak membaca ilmu keibubapaan, tetapi saya banyak memfokuskan kepada ilmu mengenai asuhan alami.

Saya suka membaca perkongsian mengenai penyusuan susu ibu, lampin kain moden dan gendong anak. Kebanyakan pembacaan saya semasa anakanda Fateh usia bayi adalah memfokuskan kepada kejayaan penyusuan susu ibu sebagai wanita bekerjaya. Hampir kebanyakan masa saya fikirkan bagaimana untuk anakanda mencukupkan keperluan penyusuannya sehingga saya hampir tidak mengkaji mengenai perkembangan kanak-kanak. Namun saya bersyukur Allah memberikan peluang kepada saya untuk menyusukan anakanda Fateh sehingga 2 tahun cukup.

Saya hanya mula prihatin mengenai proses perkembangan kanak-kanak menjelang usinya 3 tahun.  Itupun setelah ramai orang di sekeling kami bercakap-cakap mengenai sukarnya untuk berkomunikasi dengan Fateh. Saya secara peribadi tidak terlalu risau kerana sejak sekitar usia setahun, anakanda Fateh memang sudah mula bercakap.

Saya banyak menggunakan kad imbas dan buku untuk seisi pembelajaran santai di rumah. Dia dapat menyebut kebanyakan nama yang ada pada kad imbas dan buku-buku yang biasakan digunakan. Dia mempunyai bilangan kosa kata yang sesuai dengan usinya. Jadi pada pandangan saya anak saya tidak bermasalah!

belajargunaflashcard

Anakanda fateh sudah biasa belajar sendiri seawal usia 3 tahun

Tetapi apabila pulang ke kampung atau bertemu orang lain, dia langsung tidak memberi respon terhadap sebarang pertanyaan. Kadang-kadang dia langsung tak melihat pun pada orang yang bertanya. Kalau ada pun respon hanya sepatah, lepas tu dia terus abaikan saja. Bila melihat situasi sebegitu, saya pun mula berfikir seperti ada kelainan pada perkembangannya.

Tambahan pula ketika itu dia dalam fasa ketagihan gajet. Bertambah sukarlah nak mendapatkan kerjasamanya dalam berkomunikasi. Dalam kesibukan kerja dan keletihan mengandungkan anakanda Faqihah, memang sangat kurang perhatian diberikan kepadanya. Hanya semasa cuti sekolah saya dapat duduk sepenuh masa  dan memerhati perkembangannya.

Anak yang lambat bercakap selalunya menunjukkan tanda berikut:

1) Aktif yang amat sangat. Ada saja luka di sana sini kerana selalu terjatuh, terhantuk akibat suka memanjat atau berlari sana sini.

2) Selalu naik marah, buat perangai atau tantrum kerana tiada siapa faham apa yang dia sedang marahkan.

3) Susah makan nasi, hanya minum susu botol sepanjang hari. Memilih makan sangat-sangat. Kalau makan, dia makan lambat sangat.

4) Giginya rosak teruk. Ini juga berkaitan dengan amalan susu yang terlalu kerap dan menghisap botol susu sepanjang malam.

5) Sangat sensitif pada anggota dalam mulutnya. Tak suka gosok gigi. Meronta dan kemam mulut apabila nampak berus gigi.

6) Masih tidak boleh urus diri walaupun dah masuk umur 4 tahun. Tak boleh pakai baju sendiri, tak reti ke tandas sendiri, basuh tangan selepas makan pun kena dibantu.

7) Belum memanggil “mama” atau “ayah” walaupun dah masuk umur 2 tahun.

Sumber : rubyatika.wordpress.com

Anakanda Fateh mempunyai 5 daripada 7 simptom di atas. Semasa tu saya masih ragu-ragu mengenai isu lambat bercakap. Akhirnya pada november 2012, saya memberanikan diri membawanya untuk pemeriksaan di Hospital Pulau Pinang. Akhirnya setelah mendapat temujanji bertemu dengan pakar kanak-kanak, saya pun menerima hakikat anakanda Fateh dalam kategori lambat bercakap (speech delay). Walaupun mempunyai banyak kosa kata, dia tidak dapat bercakap dengan 2 perkataan dan lebih. Dia juga sukar memberi respon kepada pertanyaan orang lain dan tidak ada interaksi mata.

keluargasakinahamid

Dalam usia 3 tahun, anakanda Fateh masih belum dapat bercakap 2 perkataan

Saya bersyukur kerana sedar awal mengenai kelewatan perkembangan ini dan segera bertindak. Dengan bantuan pegawai terapi pertuturan dan nasihat dari pakar kanak-kanak, saya mula membuat aktiviti merangsang percakapan dengannya Setiap hari. Sejak dari itu saya semakin peka dengan rutin hariannya. Gajet mula dikawal penggunaannya, dan saya sendiri banyak menggunakan masa untuk mencari maklumat bagaimana dapat membantu anakanda Fateh segera bercakap.

Selain menjalankan rangsangan pertuturan setiap hari, anakanda Fateh juga mengamalkan pemakanan hemopathy seperti Tablet Genius RR4U. Makanan minda dapat membantu penghantaran maklumat yang lebih efektif di dalam sistem saraf, sekaligus dapat membantu bertutur dengan lebih baik. Alhamdulillah selepas 6 bulan dia mula menunjukkan perkembangan yang positif. Saya bersyukur kerana dengan ujian yang sedikit ini, Allah membuka minda saya mengenai ilmu perkembangan kanak-kanak.

Sebagai ibubapa kita perlu peka dengan perkembangan anak-anak. Terlalu banyak mendengar cakap-cakap orang menjadikan kita sukar membuat pilihan yang terbaik untuk anak-anak. Banyakkan membaca dari sumber-sumber yang berautoriti dapat membantu kita membuat keputusan yang tepat. Penulisan ringkas dari Dr Zubaidi, seorang pengamal perubatan yang terkenal di dunia online ini juga boleh dijadikan panduan awal untuk ibubapa mengenalpasti adakah anak kita berada pada tahap perkembangan pertuturan yang normal.

Jom Cakna perkembangan anak.