Alhamdulillah, Isnin datang lagi. Datang dengan membawa harapan minggu baru untuk mencapai segala impian. Semoga apa jua perancangan anda dan saya akan dipermudahkan urusan-urusannya. Dalam hidup ini tiada yang mustahil untuk dicapai dengan izinNya, in syaa Allah.

Hujung minggu baru-baru ni kami sekeluarga berkesempatan berkelah di Taman Rimba Teluk Bahang. Taman ini ada nostalgia tersendiri kepada saya. Sepanjang bergelar mahasiswa USM dan bekerja sebagai guru, saya pernah datang ke sini beberapa kali menguruskan program. Boleh dikatakan kebanyakan aktiviti yang disediakan di taman rimba ini telah saya terokai. Semasa bergelar mahasiswa, saya berpeluang mendaki trek hutan hingga ke pusat tadahan air. Takda la tinggi sangat pun, boleh la buat keluar peluang.

Tapi itu cerita dulu la. Selepas lahirkan anakanda Fateh, saya dah jarang dapat ikuti aktiviti outdoor. Biasanya kalau nak bermandi manda pun kami ke Tanjung Asam, Teluk Kumbar. Dekat sikit dengan rumah. Ataupun mandi kolam di Taman Metropolitan Relau. Inilah dua lokasi yang selalu kami kunjungi untuk memberi peluang anak-anak bermain air.

Jadi bila kali pertama anak melihat pemandangan mandi sungai di sini, mereka sangat teruja. Tapi dalam keterujaan banyak pula soalan-soalan risaunya tu.

Takda ular ke?

Tak apa-apa ke dalam air tu?

Tak payah pakai kasut ke mandi?

Haha..itulah pentingkan pendedahan kepada alam semulajadi. Kalau tak pernah dedahkan masa kecil ni memang bila besar jenuh nak ajak. Dia rasa tak selesa dengan persekitaran macam tu. Padahal bila dah mula rasa seronok mandi tu, jenuh pula nak ajak balik kan.

Alhamdulillah pada pengamatan saya Taman Rimba Teluk Bahang ini dijaga dengan baik. Semasa saya sampai sekita jam 11 pagi, tidak kelihatan sampah-sampah bekas makanan yang ditinggalkan pengunjung hari sebelumnya. Memang kelihatan pekerja pembersih sedang membersihkan kawasan-kawasan berdekatan.

Tempat untuk perkelahan juga dibina dengan tersusun. Kiranya bila kita sampai tu boleh nampak dengan jelas tempat yang sesuai untuk hampar tikar nak berkelah. Masa kami sampai tu masih belum ramai pengunjung, jadi boleh lah pilih tempat yang redup berdekatan kolam kanak-kanak. Ada 5 buah kolam mandi berbeza kedalam. Macam biasalah kan, lagi tinggi lagi dalam.

Anak-anak mandi di kolam yang keempat, agak ke depan. Kebanyakan yang mandi di sini adalah keluarga yang bawa anak kecil, jadi kuranglah pemandangan jelik pasangan-pasangan yang nak bermadu kasih kat sini. Rimas dengan aksi-aksi murahan ni. Kita nak bawa anak menikmati keindahan alam, datang pula mereka merosakkan pemikiran anak kecil. Semoga mereka ni cepat-cepatlah bertemu jodoh supaya tak perlu jadi pelakon murahan di tempat awam. -_-

Ok, berbalik kepada cerita anak-anak yang kali pertama mandi sungai ni. Sebelum nak turun tu penuh dengan kecurigaan. Sekali dah masuk dalam air barulah rasa seronoknya. Tapi dah tak tahan sejuk la pulak. Baru 10 minit dah menggigil. Jadi semua naik dulu dan nikmati bekalan. Makan pun sambil menggigil. Dah hilang menggigil tu baru la ronda-ronda tepi kolam tu cari feel nak turun semula.

Sekali anakanda Fateh ternampak orang tangkap anak ikan. Apa lagi, mula lah dia pun sibuk nak tangkap ikan jugak. Mana lah tau banyak anak ikan kat sini. Saya pun cakap kat anak tangkap guna plastik ja la, sebenarnya bergurau ja pun. Mana nak cari tangguk ikan kat sini kan.

Tapi anak kecil ni memang akan ambil serius apa saja cadangan kita. Dia pun mula la ‘menangguk’ ikan guna plastik tu. Memang la tak dapatkan, masa la dia tahu cara nak tangkap ikan. Tak pernah tengok pun sebelum ni. Tak dapat kat satu kolam, dia pergi kolam tempat dia tengok pakcik tu tangkap ikan. Agaknya pak cik tu pun tengok kesian adik ni gigih sangat, dia pun tolong la tangkapkan. Alhamdulillah, dapat seekor yang pertama.

Lpeas tu terus la dia naik semangat. Maka abahnya yang ala-ala malas nak masuk dalam air pun terpaksa lah turun padang. Asah balik skil tangkap ikan karin dulu-dulu kan. Sebelum zohor tu sempat la tangkap 6 ekor. Ok la guna plastik ja kan.

Lpeas solat zohor di surau taman rimba ni, anakanda Fateh sambung semula operasinya. Sorang-sorang dia ja. Gigih sungguh ulang alik ke sana ke mari nak cari jugak ikan tu. Kami biar ja dia main puas-puas. Nak datang lagi tak tau bila pulak kan. Memang bersungguh dia nak tangkap anak-anak ikan kecik tu.

Akhirnya hampir 4 petang anakanda fateh berjaya tangkap 2 ekor sekaligus. Alhamdulillah, rezeki orang yang rajin berusaha kan. Puas hati dapat rasa tangkap ikan sendiri walaupun tanpa peralatan yang betul.

Dah dapat tu kami cepat-cepat lah berkemas pulang. Alhamdulillah secara keseluruhannya pengalaman berkelah di Taman Rimba Teluk Bahang adalah menyeronokkan. Ada rezeki kami akan datang lagi dengan peralatan menangkap ikan yang lebih baik, in syaa Allah.