Sepanjang sebulan persekolah darjah 1, subjek bahasa Melayu adalah yang paling kerap anakanda Fateh cerita perkembangannya. Dari karakter gurunya yang tegas, hinggalah kepada kandungan pembelajaran. Iyalah, setiap hari memang ada waktu untuk bahasa Melayu. Jadi memang banyaklah benda yang nak diceritakan.

Teringat satu hari tu, kami sekeluarga tengah makan malam. Tiba-tiba ja dia tanya, abah frasa tu apa?

Jeng..kami berdua menyambutnya dengan ketawa. Rasanya belajar bahasa Melayu sampai SPM pun takda la kita ditekankan dengan istilah bahasa ni semua kan. Saya sendiri kenal istilah-istilah nahu bahasa Melayu semasa mengambil Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI). Dalam silibus wajib ada subjek bahasa Melayu. Itulah kali pertama saya belajar bahasa Melayu dengan memahami hukum-hukum tatabahasa secara terperinci.

Jika di zaman sekolah saya hanya melihat bahasa Melayu adalah jawab soalan kefahaman, tatabahasa, karangan dan rumusan. Alhamdulillah jika 20 tahun dulu, hanya dengan menjawab soalan-soalan itu dengan baik sudah cukup untuk mendapat A dalam subjek bahasa Melayu. Tapi sekarang saya sendiri tidak pasti apakah masih cara pembelajaran kita dahulu masih relevan dengan anak-anak sekarang.

Tapi yang lucunya, selepas anakanda Fateh tidak mendapat jawapan dari kami dia pun bagitahu jawapannya. Dengan lancar dia pun maklumkan Frasa ialah perkataan yang terpisah. Kami pun mengiyakan saja. Terdetik dalam hati saya dia boleh ingat apa yang belajar dalam kelas, kira ok la kan.

Tapi seketika dia bertanya lagi, “Abah terpisah tu apa?”

Adoi..sekian la dengan kamu nak. Maksud perkataan pun masih tak sempat dalami dah kena ingat istilah-istilah dalam nahu bahasa Melayu.

Saya kongsikan cerita ini untuk muhasabah kita bersama. Anak-anak zaman sekarang sedang melalui cabaran dunia pendidikan yang semakin sengit. Jika dahulu belajar bahasa Melayu hanya sekadar untuk mempunyai kemahiran berbahasa yang baik, sekarang tidak lagi. Seringkali pulang dari sekolah anakanda Fateh akan bertanya perbagai istilah yang saya kategorikan bahasa peringkat tinggi. Bukan sekadar belajar untuk berbahasa dengan betul.

Kerana itu melangkah ke darjah 1 tanpa kebolehan membaca akan menjadikan dunia persekolah yang sangat mencabar untuk anak-anak kita. Jika mereka baru merangkak-rangkak membaca, sedangkan guru sudah mula menyebut perkataan-perkataan sukar pasti akan menjejaskan minat anak-anak untuk belajar. Mereka akan terperangkap dalam suasana yang terlalu banyak benda yang tidak tahu, sekaligus mencetuskan rasa semua itu susah.

Keadaannya seperti kita tak pandai bahasa Inggeris masa sekolah dulu, dan cikgu bahasa Inggeris mengajar di depan dengan penuh semangat. Walaupun cikgu buat macam-macam aktiviti, tapi sebab kita tak faham apa yang cikgu cakap, kelas itu sangat memberi tekanan kepada kita. Tapi sekurang-kurangnya itu bahasa kedua kita.

Sedangkan anak-anak sekarang tertekan dengan bahasa ibunda mereka sendiri. Pelik kan!

Tapi itulah hakikat. Pada saya, sebagai ibu yang kerdil kita tak dapat mengubah apa yang ada diluar. Tapi saya hanya mampu untuk membantu anak saya lebih bersedia menghadapi cabaran semasa. Usahakan untuk bantu anak-anak dapat membaca sebelum melangkah ke sekolah, selebihnya kita bantu dari masa ke semasa. In syaa Allah.