Memegang pensel boleh jadi satu perkara yang sangat mudah untuk sebahagian kanak-kanak. Tak ajar pun dah pandai pegang dengan betul. Tapi ada juga yang dah sampai darjah 1 pun masih terkial-kial memegang pensel. Banyak faktor yang mendorong anak dapat memegang pensel dengan betul dari awal.

Memegang pensel adalah kesinambungan dari perkembangan motor halus yang baik. Jadi seawal usia bayi, penting ibubapa memastikan otot-otot kecil pada jari anak berkembang dengan optimum. Kerana itu anak kecil perlu sentiasa didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan jari dan tangan. Anak yang banyak menghabiskan masa dengan gajet elektronik biasanya akan menghadapi kesukaran untuk memegang pensel dan menulis dengan baik.

Mainan Labyrinth

Anak yang banyak melakukan aktiviti yang melibatkan otot-otot kecil pada tangan akan mudah untuk belajar memegang pensel

Apabila anak berusia sekitar 2 tahun, mereka sudah mempunyai kecenderungan untuk menconteng. Beri peluang kepada mereka kerana menconteng sangat banyak kebaikannya. Jangan kerana sayangkan dinding rumah, anak dijauhkan dari pensel. Itu bukan pendekatan yang tepat. Kita sebenarnya telah menafikan proses perkembangan anak yang sangat penting. Pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mengatasi masalah anak suka menconteng dinding seperti saya kongsikan di SINI.

Untuk permulaan, beri pensel yang agak pendek supaya anak dapat kendalikan dengan lebih mudah. Beban pada tangan kurang berbanding pensel yang panjang.

pensel pendek

Pensel yang pendek lebih mudah dikendalikan oleh tangan anak yang masih kecil

Apabila anak sudah diberi peluang menggunakan pensel dengan bebas, perhatikan cara pegangannya. Banyak perubahan cara pegangan yang akan anak lalui sebelum dapat memegang pensel dengan tripod grip.

Cara pegang pensel ikut umur

Cara memegang pensel akan mengalami perubahan mengikut pengalaman anak mengendalikan pensel

Ibubapa tidak perlu tergesa-gesa mengubah cara pegangan anak kecil kerana ini boleh memberi tekanan kepada anak sekaligus menghilangkan keseronokan menggunakan pensel. Semua ini akan memberi pengalaman yang berbeza kepada anak dan segala tidak langsung dapat mengawal pensel dengan lebih baik.

In syaa Allah andai ibubapa bermula dengan rangsangan yang betul sejak bayi, sekitar usia 4 tahun anak sudah boleh memegang sekurang-kurangnya dengan ‘static tripod grip’. Peringkat seterusnya anak akan betulkan sendiri untuk keselesaannya menulis. Pengalaman saya sendiri, anak-anak hanya belajar memegang pensel dan menulis semasa menconteng.

Sejak anak mula pegang pensel, saya hanya sediakan kertas A4 kepadanya. Setiap hari mereka akan menconteng menggunakan pelbagai medium samada pensel, pensel warna, krayon dan pen marker. Alhamdulillah belum mencapai usia 4 tahun mereka sudah mahir memegang pensel malah dapat menghasilkan lukisan yang baik.

Kesimpulannya beri peluang dan bantu bila perlu. Jika usaha itu masih tidak berhasil boleh rujuk dengan mereka yang berpengalaman dengan terapi carakerja kerana mungkin ada keperluan lain yang perlu diberi perhatian pada anak itu. Wallahualam.