Teks : Sakina Hamid
Foto : Sakina Hamid
Kad Imbas sangat bagus digunakan untuk proses pembelajaran bayi dan kanak-kanak. Minda mereka dapat merakam maklumat yang diimbas dengan cepat berbanding menggunakan buku. Ia bersesuaian dengan tempoh fokus bayi dan kanak-kanak yang masih singkat.
Ramai ibubapa yang rajin menghasilkan kad imbas sendiri. Namun kekangan masa menjadikan ibubapa memilih untuk membeli pelbagai kad imbas yang ada dalam pasaran. Berikut adalah ciri-ciri kad imbas yang dapat memberikan hasil yang optimum kepada bayi.
1) Latar belakang kad berwarna putih, tulisan berwarna hitam atau merah
Ini adalah kad imbas terbaik untuk perkenalkan huruf/nombor kepada bayi. Ia dapat membantu bayi lebih fokus kepada bentuk huruf dan tiada gangguan dari objek lain di sekitarnya.

Kad Imbas ‘Abu Ada Ayam’ – bahagian depan hanya huruf sahaja, bahagian belakang kad mengandungi gambar dan lirik lagu
2) Kad hanya mengandungi objek / tulisan sahaja
Bagi kad imbas untuk perkenalkan nama objek, sebaiknya hanya terdapat objek sahaja pada bahagian depan kad. Manakala perkataan terdapat pada bahagian belakang kad. Sebaiknya perkataan dan gambar tidak berada pada bahagian yang sama.
3) Gambar berkualiti
Gambar yang terbaik adalah imej sebenar objek yang disampaikan. Penggunaan gambar dalam bentuk kartun tidak memberi maklumat yang tepat kepada anak tetapi masih boleh digunakan untuk membina kreativiti anak. Gambar yang bagus ialah yang berkaitan dengan persekitaran kanak-kanak.

Gambar imej sebenar, bukan lukisan (tetapi kad ini meletakkan gambar dan perkataan dalam 1 bahagian)
4) Warna yang terang dan ceria
Otak manusia memberi respon yang pantas terhadap objek yang berwarna terutama warna yang lebih menonjol berbanding persekitaran (latar belakang).
5) Tahan lasak
Salah satu ciri-ciri kad imbas yang bagus ialah mesra bayi. Antara isu apabila menggunakan kad imbas ialah mudah terkoyak direnyuk bayi. Alternatifnya sekarang sudah ada kad imbas dari kain felt dan kadbod yang lebih tahan lasak, walaupun kurang menepati ciri-ciri pertama tadi. Tapi ia masih boleh digunakan dan dipelbagaikan aktiviti penggunaannya.
Semoga perkongsian mengenai ciri-ciri kad imbas yang bagus ini membantu ibubapa membuat pilihan yang terbaik untuk simanja tersayang. Dapatan pelbagai pilihan kad imbas bagi membantu pembelajaran simanja anda di SINI