Selepas saya berkongsi mengenai Kebaikan Menconteng di media sosial, saya mendapat banyak respon dari ibubapa. Alhamdulillah kebanyakan respon yang saya terima adalah sangat positif. Sehingga ada ibu yang ‘mampu’ melihat anaknya menconteng dinding kerana hendak tunjukkan kemahiran barunya. Pada saya ibu-ibu ini mempunyai ketahanan mental yang sangat kuat, masya Allah.

Namun tak kurang cuba ibubapa yang sinis dengan penulisan saya itu. Ini mungkin kerana mereka fokuskan pada subjek ‘dinding’, sedangkan sebenarnya saya menulis mengenai kebaikan menconteng. Cuma gambar yang dikepilkan menjadi salah faham saya menggalakkan anak menconteng dinding.

Menconteng tidak semestinya di dinding. Cuma anak memang cenderung untuk menconteng di dinding atas pelbagai faktor. Faktor yang utama ialah dinding berada pada paras mata, ia kedudukan yang selesa untuk menconteng berbanding tunduk melihat kertas. Kawasan menconteng juga tidak terbatas seperti di kertas. Ia amat bersesuaian dengan pemikiran anak kecil yang sedang berkembang.

Namun tidak semua ibubapa mampu ‘menginfakkan’ dinding rumah menjadi galeri seni semulajadi untuk anak-anak. Ada yang tinggal menyewa, kuarters syarikat, mahupun rumah ibubapa sendiri. Kalau rumah sendiri pun mestilah nak rumah kelihatan cantik dan sejuk mata memandang kan. Kerana itu ramai ibubapa mencari alternatif bagaimana menyelamatkan dinding, dalam masa yang sama tidak menghad perkembangan anak.

Alternatif yang mudah dan murah ialah dengan melekat kertas putih bersaiz besar di kawasan dinding terbuka. Maklumkan pada anak, jika hendak menconteng hanya di tempat yang terdapat kertas sahaja. Dapat anak yang boleh mengikut arahan in syaa Allah misi ini akan berjaya. Namun boleh sahaja berlaku anak masih menconteng di tempat yang tidak dilekat kertas seperti di pintu, pada perabot dan sebagainya. Itulah anak bijak yang sukakan sesuatu yang lebih mencabar. ^_^

Selain itu, kertas ini juga mudah dikoyak oleh anak-anak. Maklumlah, selain sedang seronok menconteng, mereka juga sedang seronok menguatkan otot-otot kecil pada jari dengan mengumpil pelekat kertas menggunakan hujung jarinya. Jadi selalu juga berlaku kejadian di mana kertas-kertas ini dicabut mahupun dikoyak oleh anak. Mereka memang sangat suka mendengar bunyi kertas terkoyak. Satu kepuasan! 😛

Jadi alternatif lain yang ada ialah dengan melekat whiteboard/blackboard sticker terus ke dinding. Kebiasaan ibubapa lebih cenderung memilih whiteboard sticker kerana lebih selamat berbanding penggunaan kapur tulis yang berhabuk. Whiteboard ini melekat dengan kemas pada dinding dan boleh dipotong mengikut kesesuaian ruang.

Whiteboard sticker

Whiteboard sticker

Whiteboard sticker direka untuk mengatasi masalah anak suka menconteng dinding

Kebaikan whiteboard ialah ialah boleh ditulis dan dipadam berulang kali selagi anak berminat. Jadi ia menjadi pelaburan yang berbaloi untuk tempoh yang panjang. Bila anak sudah tidak menconteng, boleh digunakan sebagai papan maklumat pula. Mak nak tulis resepi pun senang.

Bila ibubapa dah usahakan tapi anak masih terlalu ghairah menconteng, maka redholah dengan proses perkembangan mereka itu. Bukan semua kanak-kanak sama. Ada yang tenaganya lebih pada tangan hingga sukar untuk dikawal apabila dia hendak menconteng. Jadi dia ‘terpaksa’ lakukan juga untuk stabilkan tenaga itu. Kerana itu penting untuk kita memahami, menconteng adalah sangat bagus untuk perkembangan anak-anak. Bila anak terbabas menconteng di tempat yang tak terjangka, kita lebih mudah untuk rasionalkan diri.

Anak aku sedang membesar. Dia sedang belajar mengurus diri.

Ya. Andai kita mampu ingatkan diri ketika waktu kritikal begitu, in syaa Allah kurang berlaku insiden marahkan anak. Kerana kita faham apa yang sedang berlaku. Dan apa yang lebih penting, usia emas anak itu sekejap sahaja. Terlalu singkat. Selepas anak mula bersekolah dan mula meneroka dunia luar, tiada siapa lagi yang sudi membelek dinding rumah itu. Tinggallah dinding rumah yang cantik mulus itu bersama dengan kesepian kita. Ketika itu hanya kenangan-kenangan manis semasa anak membesar yang akan jadi penawarnya.

Jadi, biarlah anak itu meneroka dunia tanpa batasan dan amarah dari kita!