Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid

Alhamdulillah, 4 tahun sudah Allah pinjamkan anak dara petah ini kepada kami. Sebagaimana ibu lain, saya juga merasakan masa sungguh pantas berlalu. Apatah lagi dengan perkambangannya yang cepat dalam pelbagai aspek, menjadikan saya rasa seperti ‘tidak sempat’ mengisi masa-masa berkualiti bersamanya.

Begitulah Allah aturkan kehidupan.

Ada anak yang kita rasa perlu beri perhatian dalam segala aspek kehidupan mereka. Pemakanannya, perkembangannya, keselamatan, kesihatan dan sebagainya. Dan ada saatnya Allah kurniakan anak yang serba serbi terasa mudah untuk diuruskan.

Usah terlalu gah bercerita dengan yang mudah-mudah, dan jangan hanyut dalam rungutan atas segala kesukaran. Kerana perjalanan kita masih jauh, kita tak pernah tau apa yang Allah telah sediakan di hadapan kita. Setiap yang Allah aturkan pasti tidak sia-sia.

Dan kelahiran Faqihah ada keistimewaannya yang tersendiri di sanubari saya. Ketika itu saya masih bekerja sebagai guru, dan cuba merancang sebaik mungkin tempat jagaan untuknya. Saya menempah tempat di taska seawal kandungan berusia 4 bulan.

Dan selepas kelahirannya, masih belum ada kekosongan di taska tersebut. Saya bingung mencari pilihan lain, kerana taska-taska di kawasan sekitar memang tidak memenuhi spesifikasi saya. Yer la, nak keluar bekerja mestilah nak pastikan anak mendapat tempat yang terbaik kan.

Saya hubungi sana sini mencari pengasuh untuknya. Masa tu terdetik di hati, aku ni nak pergi mengajar anak orang lain. Tapi anak sendiri takda pun yang sudi nak jaga. Memang sedih.

Namun Alhamdulillah ketika hampir melapor diri, seorang ibu kepada anak murid saya sanggup mengasuhnya sementara menanti kelahiran cucu sendiri. Maka sehingga usia hampir 6 bulan Faqihah tinggal bersama ‘Mak tok’. Jagaan beliau memang baik, namun saya akur ia hanya bersifat sementara. Perjanjiannya dia akan menjaga Faqihah sehingga kelahiran cucunya sahaja.

Dan ditakdirkan pada hari terakhir saya perlu bertugas sebagai pengawas SPM, menantu maktok sudah turun tanda lahir. Maka bermula lah kembara Faqihah tanpa pengasuh. Suami terpaksa ambil cuti bila saya bertugas mengawas SPM, mujurlah dah sampai ke hujung-hujung.

Hanya selepas sekolah dibuka semula pada seisi Januari Faqihah mendapat tempat di taska yang saya tempah. Jagaannya memang baik, taska ini mengamalkan konsep terbuka dan semua ibubapa boleh masuk menemui anak-anak pada bila-bila masa. Tapi taska tetap taska, sepanjang menghantarnya di sana saya terpaksa ‘menelan’ apa sahaja yang saya lihat ‘kurang enak’ di taska tersebut. Namun apa pilihan yang saya ada..

Setiap hari ‘menelan’ masalah ditambah dengan tekanan tempat kerja telah membawa saya ke dimensi baru. Ilham muncul untuk saya tidak selamanya kerja makan gaji. Ya..ilham muncul apabila kita melalui tekanan hari demi hari dan tidak banyak benda yang berubah.

Dan Alhamdulillah, penghujung 2013 saya mula mengorak langkah membina laluan kerjaya tanpa makan gaji. Alhamdulillah, walaupun belum berjaya sepenuhnya namun jalannya sudah mula dirintis. Semoga impian saya menjadi ibu yang mempunyai masa kerja yang fleksibel dan dapat menguruskan anak-anak sendiri akan dimudahkan Allah. Ameen