Pagi semalam saya sempat bertemu dengan teman serumah semasa zaman bujang dulu. Sambil bertukar-tukar cerita terselit juga topik berkaitan anak-anak. Kebetulan anak-anak kami hampir sebaya. Jadi isu-isu perkembangannya pun sekitar topik yang sama.

Antara kerisauan yang disuarakan oleh beliau ialah mengenai isu anak boleh membaca. Ya, sebenarnya kerisauan ini memang sangat biasa menghantui ibu-ibu muda kan. Tidak terkecuali saya juga. Malah saya juga sering mendapat pertanyaan sebegini dari pelanggan yang berurusan dengan Kedai Cikgu, yang rata-rata mencari kaedah terbaik  untuk ajar anak membaca.

Jadi ia masalah biasa, cuma bagaimana kita menanganinya?

Saya bukan pakar dalam teknik mengajar anak membaca pada awal usia. Cuma saya ada beberapa pengalaman berharga yang menjadikan saya tidak bimbang mengenai kemampuan anak boleh membaca. Pengalaman ini telah menanam keyakinan awal pada diri saya bahawa belajar membaca bukanlah satu proses yang terlalu sukar untuk dilakukan oleh seorang kanak-kanak.

Salah satu pengalaman yang istimewa ni saya kutip ketika masih bergelar mahasiswi. Ketika itu saya sering mengikuti program dan latihan anjuran pelbagai badan bukan kerajaan (nGO). Salah satu pengalaman berharga ialah ketika saya mengikuti latihan aktivisme selama 3 bulan di Pejabat Teras Pengupayaan Melayu (TERAS). TERAS ialah sebuah nGO yang menjalankan program untuk menangani isu-isu semasa dalam masyarakat melayu khususnya.

Ketika menjalani latihan, saya tinggal di rumah Presiden TERAS iaitu Cikgu Azmi Abdul Hamid. Walaupun beliau sangat serius dan tegas ketika di lapangan, namun beliau sangat lembut kepada ahli keluarganya. Saya dapat melihat anak-anaknya menjalani kehidupan kanak-kanak dengan sangat enjoy tanpa disogokkan dengan tekanan akademik.

Malah menurut pembantu rumahnya, anak-anak mereka tidak pernah dihantar ke tadika. Satu kenyataan yang mengejutkan saya. Kerana saya dapat melihat kebijakan tujuh orang anaknya dalam pergaulan seharian. Malah pencapaian anak-anaknya cukup memberangsangkan di mana kesemua mereka menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh ketika itu. Nampak tidak selari dengan kehidupan mereka pada zaman kanak-kanak kan.

Menurut Cik Safinah, semua anak-anak Cikgu Azmi akan diajar membaca sendiri oleh ibu mereka, Puan Masadah. Beliau merupakan seoarang guru sekolah menengah yang memegang jawatan sebagai Penolong Kanan HEM ketika itu. Beliau juga terlibat secara aktif dengan aktiviti nGO. Namun itu bukan alasan untuk dia tidak mengajar anak sendiri di rumah.

Jadi apabila anak-anaknya akan masuk darjah 1 tahun hadapan, Cikgu Masadah akan mula mengajar anak-anaknya membaca sekitar bulan Jun. Dia mengajar secara santai pada waktu petang menggunakan buku. Saya sempat melihat beberapa kali beliau mengajar anak bongsunya di ruang makan. Dan ia berlaku hanya seketika, tanpa suasana yang dramatik. Dan Alhamdulillah hari ini anak bongsunya itu telah menulis sebuah buku yang sangat hebat penulisannya.

Ibu ajar anak membaca

Ibu boleh mengajar anak membaca sendiri di rumah tanpa perlu bimbang dengan pencapaian anak

Ya, mungkin cerita saya ini kes-kes terpencil, anak cikgu pula tu. Tapi Alhamdulillah sehingga kini saya telah temui banyak pengalaman ibu-ibu yang berjaya mengajar anak membaca sendiri di rumah walaupun dia bukan seorang guru. Malah ramai juga mereka ini dalam kalangan ibu-ibu bekerjaya yang sibuk.

Pokoknya bukan hebat mana tadika yang kita pilih, modul yang kita beli, mahupun teknik yang hendak di ajar. Tetapi kesungguhan kita dalam memastikan anak celik huruf in syaa Allah akan dibantu Allah. Carilah ilmu dan amalkan sebaik mungkin, in syaa Allah sampai masanya anak pasti boleh membaca tanpa perlu dipaksa, in syaa Allah