Februari sudah semakin hampir ke penghujungnya. bermakna sudah hampir 2 bulan juga saya homeschool anakanda Faqihah sepenuhnya. Alhamdulillah setakat ini masih belum ada tanda-tanda dia mahu ke sekolah. Pengalaman dia menolak ke sekolah selepas didaftarkan ke sebuah montessori tahun lepas menjadikan saya serik nak hantar dia ke sekolah. Ya lah, yuran pun mahal sekarang kan. Dah daftar hari-hari minta tak nak pergi sekolah pulak. Adoi..

Tapi Alhamdulillah saya nampak dia selesa berada di rumah. Saya tidaklah sediakan aktiviti yang menarik pun untuknya. Tapi dia sendiri pandai mewujudkan aktiviti yang dia nak buat. Jadi saya hanya selit-selitkan aktiviti pembelajaran sahaja semasa dia sedang bermain. Cuma saya cuba untuk wujudkan tema mingguan supaya boleh nampak pencapaian dia dalam minggu tersebut. Takda la macam tak belajar benda baru langsung kan.

Salah satu aktiviti yang saya buat dengan anakanda Faqihah ialah menulis nama sendiri. Ini paling asas bila anak ke sekolah kan. Dapat buku, dapat kertas mesti kena tulis nama. Jadi kita biasakan dari awal dia tahu tulis nama sendiri. Saya ada baca perkongsian dari ibubapa lain, seawal usia 4 tahun anak sudah boleh menulis nama dengan betul. Kerana mereka sudah rangsang kemahiran ini lebih awal lagi.

Ok jom kita semak bagaimana untuk merangsang anak menulis nama sejak kecil.

Lekat nama mereka di dinding

Bila anak selalu tengok, dia akan mengecam cara menulis nama sendiri. Simple ja kan. Tapi saya sendiri dah beberapa kali tulis, asyik kena cabut ja. Hari ni saya tulis lagi yang baru.

Pastikan anak kenal huruf di dalam namanya

Aktiviti mengenal huruf boleh gunakan pelbagai kaedah seperti puzzle nama, menyurih bentuk nama dari playdoh, menyurih atas kertas pasir dan sebagainya. Beri peluang anak ‘bermain-main’ dengan namanya supaya dia ingat kandungan huruf di dalam namanya.

 Puzzle nama Latihan menulis nama

Surih tulisan

Teknik surihan melatih anak menulis dengan betul. Tulis nama anak menggunakan highligther, dan minta dia menyurih tulisan itu. Bila anak sudah boleh menyurih, minta anak untuk tulis semula namanya sendiri.

Video ini menunjukkan teknik surihan yang menarik. Tak sabar nak cuba dengan Faqihah ^_^

Tulis nama di setiap helaian kerja

Apabila anak sudah faham cara menulis namanya, biasakan dia menulis nama sendiri setiap hari. Bila anak melukis ke, mewarna ke, buat kolaj ke latih untuk dia tulis nama sendiri di kertas. Bukan kita yang tuliskan untuk dia. Latihan yang kerap ini akan membantu anak mengingat cara menulis namanya yang betul.

Tulis nama sendiri

Menulis nama sendiri di buku dan lembaran kerja dapat meningkatkan keyakinan anak untuk menulis

Teknik pengulangan

Cara ni mudah, dan anak akan suka buat semas baru didedahkan dengan kaedah ini. Tapi biasalah, kalau dah ulang banyak kali tu dia pun jemu kan. Jadi aktiviti ini hanya jadikan untuk pelengkap supaya dia betul-betul memahami langkah menulis namanya sendiri.

Teknik ulang tulis nama/perkataan

Teknik peniruan ini membantu anak mengulang aktiviti menulis tanpa tekanan

Yang penting, dalam melatih anak menulis nama sendiri ini ibubapa tidak perlu memberi tekanan. Cukup dengan mempelbagaikan aktiviti dan beri pujian apabila anak berjaya menyelesaikan aktiviti. In syaa Allah, selepas satu tenpoh anak akan mahir menulis namanya sendiri tanpa bantuan kita.

Selamat mencuba.