Rutin harian mengambil anak pulang dari sekolah sangat mendidik saya menjadi ibu yang lebih matang. Ada hari anak pulang dengan sangat gembira. Tak sempat bertanya dah lengkap bagi laporan aktiviti di sekolah. Ada hari nampak anak tenang-tenang saja, tak berminat nak cerita apa-apa. Dan yang kurang seronok ialah bila anak pulang dalam keadaan ‘muka ketat’. Masuk kereta ja terus tunjuk tak puas hati. Silap sikit ja mula nak melenting.

Anak stress ketika pulang dari sekolah

Apabila ada kejadian yang tidak menyeronokkan di sekolah, anak akan pulang dalam keadaan stress

 

Ibu-ibu biasa berhadapan dengan situasi ini?

Pasti ada kan. Itulah lumrah kehidupan. Ada hari berlalu dengan indah, ada hari biasa-biasa saja dan ada masanya kita berhadapan dengan sesuatu yang mengundang emosi negatif. Begitu jugalah kehidupan anak-anak kita. Jangan kita rasa dia masih kanak-kanak, tiada tekanan. Semua peringkat umur ada tekanannya yang tersendiri. Bayi dalam kandungan pun ada tekanan, apatah lagi anak-anak kita yang berhadapan dengan pelbagai ragam manusia setiap hari.

Siang tadi, usai pulang dari sekolah anakanda Fateh minta nak jogging di taman permainan dalam kawasan perumahan kami. Cuaca tidaklah terlalu panas, jadi saya benarkan saja. Walaupun saya sudah ada perancangan kerja yang nak dibuat, tapi saya tangguhkan seketika untuk memberi ruang kepada anakanda melepaskan tenaganya.

Berlari untuk membuang tenaga

Berlari dapat membuang tenaga yang tidak diperlukan dan secara tidak langsung akan menstabilkan emosi kanak-kanak

Ilmu ini saya pelajari secara tidak langsung dari Puan Maznah Ibrahim, Kaunselor Psikoterapi dalam sebuah seminar keibubapaan.

Menurut beliau, setiap manusia mempunyai kekuatan tenaga pada bahagian badan berlainan. Contohnya jika kekuatan banyak terletak pada kaki, dia perlu membuang tenaga melalui bahagian badan tersebut. Antara yang boleh dilakukan ialah berlari sehingga dia merasa emosinya stabil.

Saya hanya sempat belajar ilmu asas untuk konsep ini. Sejak pulang dari seminar itu, saya akan membiarkan anak-anak saya melepaskan tenaga mereka sehingga puas. Contohnya Faqihah sangat suka melompat. Habis timbul spring di dalam sofa di rumah kerana kerapnya dia melompat. Ilmu itu memberi kefahaman kepada saya kenapa Faqihah sangat suka melompat di sofa, katil mahupun dia atas bantal.

Apabila mengetahui konsep ini, kita tidak akan rimas melihat anak melompat. Tidak timbul istilah “tak reti duduk diam” kerana mereka sebenarnya sedang menguruskan tenaga di dalam badan. Dan sebaiknya ia boleh dirangsang dengan menyediakan trampolin untuk anak melompat.

Anakanda Fateh juga mempunyai caranya tersendiri untuk membuang tenaga. Setiap hari sebaik sampai di tempat letak kereta, dia akan berlari sekuatnya menaiki tangga untuk pulang ke rumah di tingkat 2. Dia sangat bangga dapat mengalahkan kami yang menaiki lift. Dia melakukannya setiap hari tanpa jemu.

Kadang-kadang kita rasa anak buat benda yang ntah apa-apa. Saya lah tu -_-. Hakikatnya anak itu Allah yang ilhamkan kepadanya untuk melakukan sesuatu. Hanya kecetekan ilmu menyebabkan kita rasa anak buat benda yang tidak bermanfaat.

Bermain di padang permainan

Bermain adalah cara terbaik untuk menstabilkan emosi kanak-kanak

Sebenarnya apabila anak berjaya melepaskan tenaganya, ia memberi impak yang besar kepada emosinya. Hormon-hormon penenang akan menguasai diri dan emosi anak menjadi lebih stabil. Kerana itu biasanya selepas anak puas bermain, mereka akan tenang bermain sendiri tanpa perlu ditemani. Berbeza dengan anak yang kita sekat dia untuk bermain, emosinya tidak stabil dan terus meleret-leret buat macam-macam perangai.

Justeru, saya ingin menyeru kepada ibu-ibu hebat semua. Bila anak menunjukkan perilaku negatif satu demi satu, ibu berhenti sejenak dari tugas-tugas rutin harian yang tak pernah selesai. Tarik nafas, pandang dalam mata anak. Berikan senyuman yang paling manis dan layanilah kehendaknya. Jika anak hendak bermain, layan. Hendak dibacakan buku, layan. Beri perhatian penuh sehingga emosi anak ‘kenyang’.

In syaa Allah, kemudian dari itu anak akan lebih tenang dan mudah di urus.

Selamat mencuba!