Alhamdulillah pagi ini ada kelapangan masa untuk turun ke taman beriadah seketika. Sekadar untuk longgarkan otot-otot tegang dan menghirup udara segar di pagi hari. Bagi suri bekerja di rumah seperti saya, rutin senaman begini penting untuk kekal produktif dan cergas sepanjang hari.

Sedang khusyuk menikmati keindahan Dhuha ciptaanNYA, terdengar deringan suara anak kecil dari kawasan kejiranan. Oo..dari tadika berdekatan rupanya. Terdetik di fikiran, biasalah drama pagi-pagi kan.

Terus terimbau pengalaman pahit menghantar anak ke tadika. Ketika itu anakanda sulung kami berusia 4 tahun. Anakanda Fateh suda berada di taska asuhan itu seawal usia 2 bulan. Dan selepas usia 3 tahun, dia mula menunjukkan tanda-tanda tidak mahu ke taska.

Namun atas keterbatasan yang ada, saya masih menghantarnya ke tadika di bawah pengurusan yang sama. Hanya berpindah rumah sahaja. Sangkaan saya lama kelamaan anakanda Fateh akan semakin selesa di situ, rupanya sebaliknya.

Setiap hari proses nak menghantarnya ke tadika penuh dengan drama dan air mata. Ketika itu saya bertugas sebagai guru, jadi saya keluar lebih awal membawa puteri kecik kami ke rumah pengasuh.

Anakanda Fateh akan dihantar oleh suami. Bermula dari kesukaran untuk bangun tidur hinggalah upah demi upah untuk memastikannya bersedia ke sekolah. Namun dalam pelbagai usaha oleh suami ni pun kadangkala masih juga tidak berjaya di hantar ke sekolah. Sesekali ada juga lah ‘bersekolah’ di pejabat suami.

Keadaan bertambah kritikal apabila suami bekerja di luar kawasan. Saya perlu menghantar anak-anak lebih awal. Menguruskan 2 anak kecil pada waktu bagi di kawasan perumahan apartment bukanlah sesuatu yang mudah.

Muatan bermacam jenis beg sahaja sudah cukup membuatkan saya semput. Belum dicampur dengan pelbagai drama yang boleh meletus siarannya bila-bila masa. Semua ini menjadikan waktu pagi ketika ketiadaan suami di rumah perlu dirancang dengan sepenuh perhatian sejak malam hari. Semata-mata utnuk melalui waktu pagi yang tenang.

Jadi hari ini suka saya coretkan beberapa perkara yang pernah saya lakukan supaya  dapat mulakan waktu pagi bersama anak kecil dengan lebih cemerlang.

Persiapan awal

Inilah yang paling asas. Menguruskan anak kecil dalam keadaan kelam kabut hanyalah mengundang tekanan. Semua persiapan perlu diuruskan sebaik mungkin seawal mungkin. Sebaiknya pada sebelah malamnya sebelum tidur, semua keperluan pada waktu pagi sudah diuruskan sebaiknya.

Pakaian ibu dan anak, beg, makanan, bekalan susu perahan dan semua yang diperlukan esok paginya sudah disusun dalam keadaan sedia untuk digunakan.

Persiapan minda

Ini pula perkara yang lebih penting perlu disiapkan pada diri kita dan anak. Kita sebagai ibu perlu bersedia dengan kemungkinan anak akan meragam, tiba-tiba nak buang air besar atau apa-apa permintaan luar jangka.

Dan anak pula perlu di fahamkan apa proses yang akan dilaluinya keesokan hari. Beritahu situasi yang sebenar pada anak.

“Esok abah takda, Ummi hantar Fateh pergi sekolah tau”

“Bila ummi kejut Fateh terus bangun mandi, lepas tu pakai baju ya”

“Nanti kita jalan sama-sama pergi kat kereta. Fateh kena jalan sendiri, ummi nak dukung adik”

“Fateh nak besar, dah pandai. Esok dia pandai buat semua sendiri kan”

“Nanti ummi hantar Fateh pergi sekolah, Fateh main dengan kawan-kawan ya. Ummi kena pergi kerja, ada ramai orang lain nak belajar jadi pandai”

Sebut perkara-perkara yang anak perlu lalui dan beri keyakinan dia boleh uruskan semuanya dengan lancar. In syaa Allah anak kecil kita itu bijak untuk memahami semua ini walaupun mereka tidak membalas apa yang kita cakap.

In syaa Allah hari esoknya berlalu dengan lebih baik. Dan kalaupun masih meletus drama pagi, ianya akan lebih terkawal kerana kita sebagai ibu berada dalam situasi yang lebih bersedia.

Berdoa memohon kemudahan urusan

Yang lebih penting dalam apa jua keadaan adalah pergantungan kita dengan yang Maha Pengatur segalanya. DIA lah yang mengaturkan segala apa yang ada di langit dan bumi. DIA jugalah yang memegang hati setiap manusia.

Kadangkala kita sebagai ibu muda terlalu berfikir kaedah itu dan ini, tanpa bersandarkan padaNYA. Walhal dengan mudah Allah boleh menjadikan anak kita yang kuat meragam itu tiba-tiba ja menjadi tenang. Dan segala cabaran lain yang kita bimbangkan sebenarnya sangat mudah bagi Allah mengubahnya.

Jadi rugilah kita mensia-siakan senjata terbaik ummat Islam ini. Doa sebanyak-banyaknya dalam segaal urusan, in syaa Allah kita akan melihat bagaimana satu demi persatu urusan harian kita berjalan dengan teratur.

In syaa Allah.