Menulis adalah impian saya sejak di zaman kampus. Beberapa percubaan untuk menyertai kelas bimbingan menulis hanya terus memberi kan ilmu, namun tidak membuahkan tindakan.

Namun jauh di sudut hati, saya yakin dapat menulis seperti penulis yang sudah terkenal. Ia terus tersimpan kemas sebagai sebuah impian yang membuak-buak.

mudahnyamenulisblog

Setelah menceburi dunia bisnes dengan serius, saya mula menyedari penulisan adalah satu cara advertorial yang berkesan. Jadi pada awal tahun 2016, saya mula menulis di laman blog ini. Penulisan awal saya memang sepenuhnya menjurus kepada tujuan untuk menjual.

Saya mencipta tekanan pada diri sendiri untuk kelihatan pakar dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Tujuannya adalah supaya saya juga kelihatan pakar untuk menjual produk mainan pendidikan dan buku-buku dalam kedai online saya.

mudahnyamenulisblog

Setelah artikel di laman ini mencecah 100 entri, saya mendaftar kelas penulisan blog peringkat yang lebih tinggi. Tujuan asalnya memang semata-mata untuk lariskan bisnes. Namun disitulah Allah jentikkan kesedaran kepada saya bahawa menulis adalah sebuah tanggungjawab.

Tanggungjawab untuk menyampaikan benda yang betul kepada orang yang sedang mencari maklumat itu. Dan inilah titik permulaan saya merasakan bebas untuk menulis apa sahaja di laman ini. Saya sudah sangat jarang mengkaji pelbagai tips, petua, kaedah teknik dan sebagainya semata-mata untuk memuat naik aritikel di laman ini.

Apa yang ditulis adalah lebih kepada catatan pengalaman sendiri dan hasil pembacaan untuk dijadikan rujukan bagi sesiapa saja yang mencari.

Dan masya Allah, sangat banyak impak positif selepas saya menukar paragdigma pemikiran sendiri. Blog ini dikunjungi oleh ramai ibubapa yang betul-betul mencari maklumat untuk mengatasi masalah anak mereka.

mudahnyamenulisblog

Dan secara tidak langsungnya ia membawa masuk jualan yang jauh lebih baik dari tempoh pemikiran saya terlalu terikat dengan perniagaan satu ketika dulu. Dan memang itulah perjalanan bisnes yang sebenar. Memberi sebanyaknya sebelum menerima.

Indahnya aturan Allah kan. Hanya kita yang sukar untuk menghadam ilmu-ilmu yang dititipkan orang-orang yang berpengalaman. Namun saya sangat menghargai semua pengalaman yang saya dah lalui. Ia adalah jalan yang Allah sediakan untuk saya lebih menghargai pemberianNYA hari ini. Alhamdulillah.

Buat kawan-kawan yang mahu terus seronok menulis di medium online, tanamkan azam untuk terus berkongsi kebaikan dengan ramai orang. In syaa Allah tiada isu kering idea kecuali kita sudah tidak meletakkan diri kita di tempat yang mempunyai kebaikan. 🙂