Saya baru mengalami pengalaman mendebarkan bayi alahan telur setelah anak ke empat. 3 orang anak sebelum ni Alhamdulillah tak pernah alami alahan yang serius, ruam gatal sikit-sikit tu ada la.
Tapi pengalaman kali ini agak mendebarkan kerana saya pun tak pernah kenalkan telur pada bayi terlalu awal. Ini juga kesan keterujaan tengok video info pendek tapi tak mengkaji lebih mendalam.
Dalam info tu bayi boleh diberi telur seawal 8 bulan, oleh kerana anakanda Fayyad sudah 10 bulan saya pun yakin saja berikan sesudu besar telur bercampur bubur kepadanya.
Respon awal gejala alahan telur
Sejurus lepas makan dia mula gelisah. Selepas mandikan dia masih meragam, jadi saya cuba susukan untuk tenangkan dia. Tapi dia terus tertidur. Memang rasa pelik sebab biasanya perlu ambil masa untuk tidurkan Fayyad.
Tak sampai setengah jam tiba-tiba Fayyad terjaga dan terus memancut muntah dengan banyaknya. 2 kali dia muntahkan semua makanan dan susu yang minum sebelum tu. Masa tu saya belum syak apa-apa, cuma fikir mungkin badan tolak telur yang baru di makan.
Selepas mandikan dan bersihkan tempat tidur, saya terfikir untuk google kenapa bayi muntah telur. Terus terjumpa perkongsian dari Portal Myhealth mengenai alahan telur. Masa tu terus berdebar-debar baca dan mula nampak beberapa gejala yang sudah timbul pada anakanda Fayyad.
Gejala bayi alahan telur ini biasanya di alami untuk jangka masa kurang daripada sehari.
- Gatal-gatal, radang kulit (ekzema).
- Muka menjadi merah.
- Mata berair, bengkak kelopak mata.
- Mulut gatal, bengkak bibir.
- Tekak perit.
- Hidung berair.
- Nafas termengah-mengah, batuk.
- Loya dan muntah.
- Sakit perut.
- Cirit-birit.
Dalam masa kurang 2 jam anakanda Fayyad dah mula menunjukkan tanda radang kulit, sekitar mata merah, hidung berair dan muntah. Untuk ibu yang kali pertama melihat anak alami alahan tiba-tiba macam tu, naluri saya merasakan ia bukan gejala ringan.
Kami pun cepat-cepat bersiap dan bawa anakanda Fayyad ke Hospital Daerah Jitra yang terletak dalam 10 minit dari rumah. Lepas daftar terus dimasukkan ke zon kuning. Alhamdulillah dalam 10 minit macam tu dah ada doktor tengok keadaan Fayyad lepas tu dia cakap nak pergi solat maghrib kejap nanti dia tengok semula.
Bila doktor cakap macam tu saya agak mungkin tak serius sangat la kan, jadi kurang la sikit debarnya. Tapi untuk yang kali pertama alami memang seram tengok ruam-ruam besar berkeping-keping dah penuh badan. Nampak macam kelopak garam tapi dia bersambung dan membentuk 1 lapisan tebal. Cuping telinga pun nampak lebih tebal dan Fayyad asyik menggaru.
Lepas solat doktor buat pemeriksaan semula dan analisa doktor alahan ni lebih pada kulit. Takda tanda dia menyerang paru-paru setakat ini. Alhamdulillah lega mak dengar keadaan dia tak serius.
Alhamdulillah selepas disuntik dengan Hydrocortisone, ruam-ruam alahan mula berkurang dan tiba-tiba Fayyad pun nampak kembali bertenaga terus boleh meniarap. Dia pun dah berhenti menggaru. Doktor minta tunggu 6 jam jika berlaku serangan semula.
Masa tu ruam dah makin berkurang tapi tempat yang bersentuhan masa pegang Fayyad masa menyusu macam kat lengan dan pipi nampak jadi lebam baru. Oleh sebab kurang yakin dengan keadaan itu saya redha je la untuk Fayyad di masukkan ke wad untuk pemantauan.
Maka ‘check in’ lah kami 1 malam di situ, mak dah ready mental fizikal juga la sebelum pergi tu kalau-kalau perlu masuk wad. Biasa bayi ni doktor nak buat pemantauan lebih lama. Alhamdulillah waktu pagi tu dapat lagi 1 suntikan dan tiada ruam baru naik.
Fayyad pun takda demam atau apa-apa masalah lain doktor pun benarkan pulang bersama bekalan Prednisolone dan krim calamine . Balik rumah semua ok dah tak perlu bagi ubat apa-apa. Alhamdulillah untuk kali pertama pengalaman mendebarkan bayi alahan telur.
Anak ke 4 baru Allah bagi ujian kecil ini, sekurang-kurangnya kita memahami sikit sebanyak pengalaman ibubapa lain yang lebih kritikal.
Oleh sebab banyak masa dalam wad barulah saya terbaca rupanya telur memang boleh diperkenalkan seawal 8 bulan, tetapi untuk KUNING TELUR SAHAJA!
Telur putih sepatutnya diperkenalkan setelah usia 1 tahun untuk elakkan bayi alahan telur
Ini kerana telur putih mengandungi protien menyebabkan badan bertindak seolah telur adalah bahan berbahaya. Jadi badan menghasilkan antibodi untuk melawan protein telur. Antibodi ini merangsang sistem imun badan untuk mengeluarkan bahan kimia yang menyebabkan wujudnya gejala alahan telur.
Alahai terkilan mak buat benda cuai macam ni kat anak. Itulah bahaya belajar ilmu separuh-separuh ni kan, bukan salah info tapi kita sendiri sebagai ibubapa kena cakna untuk belajar lebih mendalam.

Kredit gambar : beingtheparent.com
Apa-apa pun redha je la melalui pengalaman mendebarkan ini, ada lah hikmahnya Allah tunjuk benda ni sekarang. Mungkin ia asbab Allah nak lindung dari musibah lebih besar. Wallahualam.
Untuk keadaan Fayyad ni doktor nasihatkan supaya berpantang telur sehingga 1 tahun dan cuba semula untuk memastikan samada badannya sudah boleh menerima telur atau belum. Doktor juga nasihatkan untuk mencuba makanan berisiko ini pastikan pada waktu yang ada orang boleh bawa ke hospital jika berlaku sebarang tanda alahan.
Apakah yang saya harus lakukan jika anak saya ada alahan telur?
1. Elakkan daripada memakan telur dan makanan yang mengandungi telur (kandungan telur yang sedikit pun boleh menyebabkan reaksi yang teruk). Boleh dapatkan resepi pengganti di pelbagai laman web.
2. Baca dengan teliti label makanan dan elakkan makanan yang ada telur.
3. Rancang langkah kecemasan untuk sekiranya terjadi reaksi alahan.
4. Bawa bersama ubat EpiPen ke mana-mana (untuk kes yang mendapat nasihat doktor)
5. Pakaikan gelang yang ada ‘medic alert’ di pergelangan tangan anak.
6. Beritahu penjaga atau guru mengenai keadaan kesihatan anak terutamanya untuk anak yang masih di tadika.
7. Minta nasihat doktor mengenai sebarang langkah khas sebelum menerima imunisasi MMR (Mumps, Measles, Rubella).