Masalah kulit boleh terjadi kepada anak kecil mahupun orang dewasa. Banyak faktor yang mendorong berlakunya masalah ini. Sebelum kita kupas faktor terjadinya masalah kulit ini, jom kita kenali antara jenis masalah kulit yang kerap berlaku.

Ekzema

Ekzema selalunya terdapat di muka, pergelangan tangan. Menurut kajian, penyakit ekzema mempunyai pertalian genetik. Sekiranya salah seorang sama ada ibu atau ayah merupakan penghidap ekzema maka ia memberi kesan genetik itu kepada anak-anak.

Ekzema boleh menjadi lebih teruk jika kulit kering

Ia terjadi apabila penghadang kulit tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan alahan mudah meresap ke lapisan kulit yang menyebabkan berlakunya alahan dan seterusnya mengakibatkan kehilangan kulit yang banyak.

Penyebab terbentuknya ekzema ialah asap rokok, bahan-bahan kimia,asap,cuaca panas, cecair, mandian sabun, syampu, serbuk bahan pencuci, kosmetik, kulat,debunga,haiwan peliharaan,makanan dan hama habuk rumah.

Apabila kulit mengalami alahan, ia menyebabkan kulit mengalami kegatalan yang amat tinggi dan akan menjadi lebih teruk apabila kulit kering. Malah jika digaru berulang kali, ia akan terkoyak dan menyebabkan kulit semakin teruk. Apabila ekzema menjadi kronik, kulit menjadi tebal dan bersisik.

Kerak Kepala Buat Bayi Tidak Selesa

Kerak pada kulit kepala sering kali terjadi pada kulit kepala bayi baru lahir. Ia diselaputi oleh tompok-tompok yang berminyak, kuning dan bersisik, selain penampilan bayi tidak menarik, kerak tersebut menyebabkan bayi jadi gelisah, gatal dan bau kepalanya juga kurang menyenangkan.

Kerak kepala bayi jika tidak dibersihkan boleh menyebabkan jangkitan kuman

Kerak kepala ini dipanggil cradle cap atau seborrheic dermatitis sering dihadapi bayi yang berusia dua minggu ke atas hingga enam bulan. Ia seperti kerak tebal berwarna coklat kekuningan yang terbentuk pada bahagian hadapan kepala.

Ruam Panas

Ruam sering terjadi di kawasan yang terlindung seperti leher dan pelipat tangan dan kaki

Ruam panas terbentuk hasil daripada kelenjar  peluh yang terlalu aktif. Akibat terlalu banyak merembeskan peluh, ia menjadi tersumbat dan timbul bintik-bintik kecil kemerah-merahan. Antara simptom lain ialah tumbuhnya bintik dalam bentuk tompokan yang sangat gatal. Kulit juga boleh menjadi kering. Bahagian yang selalu mengalami ruam peluh ialah, kepala, leher, bahagian pelipatan seperti celah paha dan belakang lutut.

Ruam ini banyak terjadi di kalangan bayi dan kanak-kanak kerana masalah kulit yang sensitif. Dia juga masih belum boleh menjaga diri di mana sering kali berpeluh ketika aktif bermain. Kalau yang dewasa, rasa panas melekit membuatkan diri ingin mandi tetapi anak-anak masih belum tahu tentang itu.

Ruam Lampin

Masa kulit ini sering terjadi kepada bayi yang bersaiz besar. Golongan ini memang sangat mudah mendapat ruam lampin. Ruam ini terbentuk di kawasan lampin. Ia terjadi disebabkan kulit bahagian berkenaan terkena ammonia (air kencing) atau najis bayi itu sendiri. Masalah ruam timbul apabila si kecil ini memakai lampin untuk tempoh jangka masa yang sama.

Selain itu, masalah yang sama mungkin boleh timbul berpunca daripada cuaca panas yang menyebabkannya mengeluarkan lebih banyak peluh berbanding kebiasaannya. Peluh yang keluar dan terperap di bahagian intim berkenaanlah yang menyebabkan ruam timbul.

Ruam lampin yang kerap berlaku di celah peha bayi

Kalau masalah ini dibiarkan lama tanpa diberikan rawatan yang baik, ia boleh menyebabkan jangkitan kulat pula sehingga memaksa bayi menggunakan krim anti-fungal. Dikhuatiri masalah sama, boleh menjadi pencetus kepada ekzema di seluruh badan bayi.

Sekiranya keadaan menjadi teruk, anda dinasihatkan untuk membawa bayi berjumpa dengan doktor pakar untuk pemeriksaan lanjut. Walau apa pun, jangan khuatir kerana masalah ini biasanya tidak memberikan kesan yang serius selagi nasihat doktor diikuti dengan penuh tekun. Biasanya masalah ini boleh sembuh dalam masa beberapa hari.

Alahan

Makanan utama yang menyebabkan alahan seperti susu lembu, soya, telur, makanan laut, bercekerang seperti udang, sayur kacang, kekacang dan gandum. Gejala yang biasa kelihatan ialah seperti gatal, kulit kemerahan dan ruam.

Apabila anak mengambil makanan yang memberi alahan kepada diri, akan berlaku tindak balas kepada badannya. Sebagai ibu bapa, anda perlu waspada dengan perubahan kepada anak.

Alahan makanan yang boleh berlaku keatas bayi

Alahan kepada anak terjadi apabila dia berasa keseluruhan tubuhnya seperti gatal-gatal, merah-merah pada badan atau cirit birit beberapa jam selepas makan. Jika melibatkan kulit tanda ruam kemerah-merahan, iritasi (acute eczema) dan kegatalan akan terjadi. Masalah ekzema kulit yang kronik, kulit menjadi tebal dan kering.

Impetigo

Masalah kulit jenis ini yang turut dikenali sebagai impetigo ini amat jarang berlaku. Biarpun begitu, anda masih perlu berwaspada dengannya. Tahap kebersihan perlu dititikberatkan setiap masa kerana ia adalah punca utamanya.

Jangkitan kulit ini disebabkan oleh bakteria streptococcus atau straphylococcus. Lazimnya, hal ini berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil sahaja. Sebab utamanya ialah masalah tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Impetigo boleh berlaku jika kurang menjaga kebersihan diri

Masalah akan berbangkit terutamanya kepada si kecil yang suka bermain tanah dan tidak membersihkan tangan dan diri dengan sempurna. Apabila jangkitan berlaku, si kecil ini akan menggaru bahagian tubuh dijangkiti. Jari atau tangan yang terdedah dengan kuman jangkitan mungkin berpindah ke bahagian tubuh yang lain. Maka penularan impetigo berlaku daripada situ.

Paling membimbangkan ialah penularan itu boleh berpindah kepada orang lain pula termasuklah orang dewasa. Perlu anda maklum bahawa kulit ini boleh juga berlaku kepada golongan dewasa yang sama-sama tidak menjaga tahap kebersihan diri dan kawasan sekitar. Hal ini disebabkan pada kulit manusia yang sihat pun, bakteria streptococcus atau straphylococcus sememangnya sedia wujud

Sehubungan itu, bagi golongan kanak-kanak mahupun dewasa yang mengalami ekzema, masalah ini tentu sahaja menimbulkan masalah yang lebih teruk. Antara lain, jika si kecil mahupun anda sendiri digigit nyamuk dan mengalami luka kerana menggaru terlalu kuat, luka berkenaan boleh terdedah kepada bakteria streptococcus atau straphylococcus ini dan akhirnya menyebabkan masalah impetigo berlaku.

Semua masalah kulit ini boleh dirawat secara alami dan ada cara pencegahan awal dari berlakunya masalah ini. Boleh ikuti perbincangannya DISINI.