Petang tadi berlaku satu kejadian yang membuat hampir ‘kering darah’ ummi menyaksikannya. Kejadian tu berlaku di taman permainan. Asalnya anak-anak hanya nak bermain mainan di situ. Setelah habis ‘melawat’ semua mainan, anakanda Faqihah minta izin untuk jogging.

Saya pun antara nak lepas tak lepas iyakan ja. Memang selalu kami jogging bersama, tapi petang-petang hari puasa ni takda la gigih ummi nak berjoging. Siap dengan skirt labuh bagai nye.

Jadi saya pun jalan je lah dalam trek tu. Trek jogging membentuk segiempat di sekeliling taman permainan. Di tepi taman permainan adalah jalan besar dan jalan taman perumahan. Keadaan agak selamat kerana di sekeliling trek jogging di tanam pokok teh pagar.

Tapi bila melihat anakanda Faqihah lari dengan sangat laju, saya mula risau. Saya panggil dia dah tak dengar. Saya panggilkan anakanda Fateh untuk jogging bersama adiknya. Alhamdulillah mereka dapat jogging beriringan sehingga hampir menyudahkan ¾ trek jogging.

Tiba-tiba ada la beberapa gadis pendek akal berada di situ bermain anjing peliharaan mereka di TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK. Memang saya geram tengok mereka meletakkan anjing di atas buaian dan mainan lain. Dah tak boleh nak bezakan fitrah manusia dan haiwan.

Entah apa yang dibuatnya sehingga anjing-anjing tu terlepas dari pegangan mereka dan berlari bertempiran melanggar segala pokok yang ada di situ. Mereka terjerit-jerit dengan cemas untuk mendapatkan semula anjing tu, dan nampak seperti mereka gagal untuk mengawal anjing tersebut.

Melihat situasi cemas itu, saya yang berada di tengah-tengah padang menjerit kepada anak-anak saya. Saya suruh mereka berpatah balik. Mereka pun berpatah balik dan masih berlari dalam trek jogging. Saya masih cemas kerana anjing itu masih berlari ke sana kemari. Jarak antara anak-anak saya dengan anjing itu sekitar 5m.

Tiba-tiba, dalam sekelip mata Faqihah keluar dari trek jogging, menyusup di celah pokok teh yang ada jarak sedikit untuk laluan pejalan kaki. Dan di belakang deretan pokok teh itu ialah jalan besar yang merupakan jalan pintasan antara jalan-jalan utama. Memang sentiasa sibuk dengan kenderaan dan semuanya laju-laju.

Masa tu Allah saja yang tau perasaan saya yang tak nampak kelibat Faqihah. Saya terus menjerit sekuat hari dan berlari di tengah padang ke arah mereka. Rasanya dah terlalu lama saya tak menjerit sekuat itu.

Masya Allah, tak sampai sepuluh saat anakanda Faqihah kembali ke trek jogging. Masa tu saya dah hampir sampai, hanya terberhenti di situ dengan fikiran yang kosong. Hanya mampu ucapkan syukur atas perlindungan dari Allah.

Selepas beberapa patah perkataan teguran, saya arahkan mereka balik. Dan terus saya tak bercakap apa-apa sampailah pulang ke rumah.

Setelah agak bertenang, barulah saya dapat berfikir dengan agak waras. Sebenarnya Faqihah hanya bertindak mengikut nalurinya kerana takut. Dan sebenarnya di belakang deretan pokok teh tu ada lagi ruang, longkang, kemudian laluan pejalan kaki barulah jalan besar.

Tapi dalam keadaan cemas sebegitu mana kita mampu  untuk fikir semua tu kan. Rasanya semua hormone adrenaline saya dirembeskan dek kerana peristiwa tersebut!

Sampai sekarang saya masih berdebar mengingatkan peristiwa itu, namun ia pengajaran yang besar untuk diri saya. Semasa anak sulung, orang selalu melihat saya sebagai ibu yang ‘over protective’. Tambah pulak dengan anakanda Fateh yang very clingy tu.

Bila membesarkan anakanda Faqihah, pemikiran saya tentang keselamatan tak banyak berubah pun. Cuma dia sendiri mempunyai sikap berdikari yang sangat tinggi, dan yakin dengan setiap gerak lakunya. Ia menjadikan kadangkala saya lupa bahawa dia masih lagi anak kecil yang memerlukan perlindungan setiap masa.

Semoga catatan ini menjadi pengajaran untuk saya dan anda yang membaca, untuk meletakkan sepenuhnya keutaamaan kepada keselamatan anak-anak apabila berada di luar. Wallahualam.