Kurang seminggu lagi sekolah dah nak bercuti pertengahan penggal pertama. Alhamdulillah, ia ruang untuk anak-anak dan guru melepaskan lelah dari rutin harian persekolahan. Jangankan kita yang kerja ni ja nak rehat, anak-anak yang bersekolah juga lelah dengan pelbagai bebanan setiap hari. Jadi cuti sekolah memang sangat dinanti-nanti oleh semua.

Tambahan pula waktu cuti ni lah banyak kenduri-kendara dan aktiviti kekeluargaan. Itulah peluang kita nak balik bercuti di kampung halaman kan. Balik kampung memang meletihkan, namun ia juga menjadi satu daripada aktiviti yang dapat memenuhkan kembali bank emosi kita dan anak-anak, in syaa Allah.

mainpasir

Biasanya bila pulang ke kampung, kita sudah ada agenda harian yang nak dilakukan. Selalu rasa tak cukup masa nak buat itu ini. Dari agenda makan-makan, ziarah menziarahi sampailah kepada misi peribadi yang lain. Semua dah ada dalam perancangan kan. Namun tidak bagi anak kita yang baru nak kenal dunia.

Teringat ketika usia Faqihah dalam 2 tahun lebih, satu malam kelihatan dia mencari-cari sesuatu. Padahal dah nak tidur waktu tu. Bila ditanya rupanya dia mencari mainannya. Dan kebetulan waktu tu saya langsung tak bawa mainannya. Rumah ibu mertua saya belum ada cucu lain, jadi memang takda apa-apa mainan yang boleh diberi padanya. Rasa terkilan sungguh. Esoknya barulah kami keluar mencari mainan di pasaraya berdekatan.

MainanIQ

IQ game ini adalah mainan kesukaan Faqihah. Mainan IQ game ni dalam booklet, mudah nak bawa mainan ni kemana-mana.

Kadang-kadang dalam keseronokan kita bercuti, kita terlupa yang anak kecil ini masih belum ada agenda mereka yang tersendiri. Anak di bawah usia 5 tahun biasanya lebih cenderung bermain sendiri. Kalau pun sudah pandai berkongsi mainan, kebanyakan masa mereka mahu bermain sendiri. Mereka mahu bereksplorasi dengan mainan dengan lebih mendalam. Mereka juga memerlukan ruang sendiri untuk beraktiviti.

Kerana itu kadangkala kita tidak faham kerenah anak bila pulang ke kampung. Anak suka merengek dan kelihatan kurang selesa. Kita pula asyik nak beramah tamah kerana ‘sangat selesa’ dengan persekitaran di kampung. Ini kadangkala menimbulkan konflik mak dengan anak. Anak asyik nak mengamuk, mak pulak yang naik geram kat anak kan.

BusyBookElHanabusybag

Busy bag dan busy book direka untuk memudahkan ibubapa membawa bahan mainan untuk anak-anak semasa bercuti.

Sebab tu lepas peristiwa Faqihah cari mainan masa kat kampung, saya pun dah bersiap sedia bawa mainan yang dia suka tiap kali balik kampung. Jadi bila dia rasa kurang selesa dengan aktiviti-aktiviti orang dewasa, dia sendiri akan masuk bilik cari mainan dan main sorang-sorang. Mainan ni jadi terapi yang sangat baik untuk anak-anak. Banyak perubahan yang berlaku ketika pulang ke kampung atau bercuti. Anak-anak belum tahu bagaimana untuk meluahkan perasaan mereka. Jadi bermain menjadi salah satu terapi untuk mereka menguruskan emosi.

Jadi dalam sibuk membuat persiapan kita pulang ke kampung, janganlah lupa untuk membawa bersama satu dua mainan dan buku-buku kegemaran anak-anak. In syaa Allah bukan anak sahaja gembira dengan persediaan ini, tetapi in syaa Allah kita juga dapat menguruskan anak dengan lebih baik.