Semua ibubapa impikan kulit bayi sentiasa halus mulus tanpa sebarang masalah. Namun seringkali anak kecil hadapi masalah kulit seperti  ekzema, kerak kepala, ruam panas, ruam lampin, alahan dan impetigo. Antara punca berlakunya masalah kulit adalah faktor cara penjagaan, genetik dan faktor kulit bayi yang belum matang.

Ekzema Bayi

Ekzema selalunya terdapat di muka, pergelangan tangan. Menurut kajian, penyakit ekzema mempunyai pertalian genetik. Sekiranya salah seorang sama ada ibu atau ayah merupakan penghidap ekzema maka ia memberi kesan genetik itu kepada anak-anak.

Ia terjadi apabila penghadang kulit tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan alahan mudah meresap ke lapisan kulit yang menyebabkan berlakunya alahan.

Punca Masalah Kulit Pada Bayi dan Cara Pencegahannya

Ekzema boleh menjadi lebih teruk jika kulit kering

Penyebab terbentuknya ekzema ialah asap rokok, bahan-bahan kimia,asap,cuaca panas, cecair, mandian sabun, syampu, serbuk bahan pencuci, kosmetik, kulat,debunga,haiwan peliharaan,makanan dan hama habuk rumah.

Apabila kulit mengalami alahan, ia menyebabkan kulit mengalami kegatalan yang amat tinggi dan akan menjadi lebih teruk apabila kulit kering. Malah jika digaru berulang kali, ia akan terkoyak dan menyebabkan kulit semakin teruk. Apabila ekzema menjadi kronik, kulit menjadi tebal dan bersisik.

Cegah Ekzema Sebelum Kronik

Jika anak anda mengalami ekzema, perkara penting yang paling utama ialah pastikan anda menggunakan pelembap kulit kering atau kulit sensitif, mandian atau sebelum tidur sapu krim pelembab supaya kulit sentiasa lembap.

Selain rawatan sendiri, anda boleh membawa anak rawatan moden berjumpa pakar untuk ujian darah untuk pemeriksaan alahan. Melalui ujian itu, ia boleh mengesan punca anak mengalami alahan lalu dapatlah anda elakkan punca berkenaan.

Jika menggunakan ubat seperti steroid atas nasihat doktor, lazimnya sapuan selepas mandi atau sebelum tidur pada tempat yang luka atau kemerahan.

Pencegahan Awal Ekzema

Penggunaan losyen pelembab untuk memastikan kulit bayi sentiasa lembab

Mencegah lebih baik daripada merawat. Ini kerana merawat ekzema ini mengambil masa yang lama untuk kembali sembuh supaya kulit tidak berparut akibat kesan ekzema. Oleh itu anda boleh melakukan pencegahan awal dengan memastikan kulit anak sentiasa disapu pelembap untuk kulit kering, mengelakkan penggunaan sabun dan pelembab yang mempunyai bau wangi; buih sabun dan air panas yang boleh mengeringkan kulit.

Dalam pada itu, pastikan pemilihan makanan yang tidak menyumbang kepada alahan kulit, menjaga kebersihan diri seperti kerap menukar cadar langsir, pakaian, dan persekitaran tempat tinggal seperti habuk.

Kerak Kepala Buat Bayi Tidak Selesa

Kerak pada kulit kepala sering kali terjadi pada kulit kepala bayi baru lahir. Ia diselaputi oleh tompok-tompok yang berminyak, kuning dan bersisik, selain penampilan bayi tidak menarik, kerak tersebut menyebabkan bayi jadi gelisah, gatal dan bau kepalanya juga kurang menyenangkan.

Kerak kepala bayi jika tidak dibersihkan boleh menyebabkan jangkitan kuman

Kerak kepala ini dipanggil cradle cap atau seborrheic dermatitis sering dihadapi bayi yang berusia dua minggu ke atas hingga enam bulan. Ia seperti kerak tebal berwarna coklat kekuningan yang terbentuk pada bahagian hadapan kepala.

Antara rawatan yang boleh dilakukan sendiri untuk masalah kerak kepala bayi ini ialah dengan menyapu minyak zaitun atau minyak bayi dari bahan semulajadi. Sapuan minyak tersebut akan bertindak melembutkan bahagian berkerak.

sapuan minyak bayi semulajadi Resty Oil membantu menanggalkan kerak kepala

Selepas ia lembut, bolehlah anda syampu kepala bayi dengan syampu khas untuk mengatasi masalah ini. Kerak yang telah dilembutkan dengan minyak tadi lebih mudah ditangglkan semasa bersyampu. Selalunya, dengan hanya sekali pemakaian syampu, kerak ini akan hilang.

Pencegahan Awal Kerak Kepala

Tidak semua bayi akan mengalami masalah kepala berkerak. Tidak ada cara yang boleh digunakan sebagai langkah pencegahan awal. Bagi anda atau pasangan yang mempunyai alergi, risiko bayi untuk mendapat masalah kepala berkerak adalah lebih tinggi.

Ruam Panas Rengsakan Kulit Si Manja

Ruam panas terbentuk hasil daripada kelenjar  peluh yang terlalu aktif. Akibat terlalu banyak merembeskan peluh, ia menjadi tersumbat dan timbul bintik-bintik kecil kemerah-merahan. Antara simptom lain ialah tumbuhnya bintik dalam bentuk tompokan yang sangat gatal. Kulit juga boleh menjadi kering. Bahagian yang selalu mengalami ruam peluh ialah, kepala, leher, bahagian pelipatan seperti celah paha dan belakang lutut.

Ruam ini banyak terjadi di kalangan bayi dan kanak-kanak kerana masalah kulit yang sensitif. Dia juga masih belum boleh menjaga diri di mana sering kali berpeluh ketika aktif bermain. Kalau yang dewasa, rasa panas melekit membuatkan diri ingin mandi tetapi anak-anak masih belum tahu tentang itu.

Kerengsaan kulit, walau bagaimanapun tidak membahayakan bayi dan kanak-kanak. Ia hanya memudaratkan sekiranya ruam digaru dengan kuat sehingga luka. Luka boleh mendedahkan kepada jangkitan kuman. Apabila jangkitan kuman terjadi, maka ia perlukan rawatan segera kerana bimbang kesan daripadanya.

Antara cara untuk mengawal atau menghilangkan ruam ini ialah dengan memastikan anak memakai pakaian yang longgar dan mempunyai pengudaraan yang baik; pakaian yang nipis dan menyerap peluh serta kerap mandi supaya kulit bersih daripada peluh.

Pemakaian bedak dan losen penyejuk pun boleh membantu melegakan. Dapatkan rawatan doktor sekiranya keadaan bayi atau anak kelihatan semakin teruk.

Pencegahan Awal Ruam Panas

Bagaimanapun, anda boleh mengambil langkah awal untuk mengelak bayi daripada terkena ruam ini dengan mengutamakan aspek kebersihan. Hal ini dapat dilakukan dengan memastikan anak mandi selepas berpeluh akibat bermain.

mandikan bayi dengan kerap untuk mengelakkan bayi berpeluh berlebihan

Sekiranya kulit anak tersebut sering ditumbuhi ruam ini, maka langkah pencegahan perlu diambil. Kerapkan mandi, elakkannya daripada berpeluh berlebihan, pakai pakaian yang tipis dan longgar serta dapatkan ruang yang nyaman dan berangin untuk dia bermain atau tidur.

Ruam Lampin Bersifat Sementara

Masa kulit ini sering terjadi kepada bayi yang bersaiz besar. Golongan ini memang sangat mudah mendapat ruam lampin. Ruam ini terbentuk di kawasan lampin. Ia terjadi disebabkan kulit bahagian berkenaan terkena ammonia (air kencing) atau najis bayi itu sendiri. Masalah ruam timbul apabila si kecil ini memakai lampin untuk tempoh jangka masa yang sama.

Selain itu, masalah yang sama mungkin boleh timbul berpunca daripada cuaca panas yang menyebabkannya mengeluarkan lebih banyak peluh berbanding kebiasaannya. Peluh yang keluar dan terperap di bahagian intim berkenaanlah yang menyebabkan ruam timbul.

Ruam lampin yang kerap berlaku di celah peha bayi

Kalau masalah ini dibiarkan lama tanpa diberikan rawatan yang baik, ia boleh menyebabkan jangkitan kulat pula sehingga memaksa bayi menggunakan krim anti-fungal. Dikhuatiri masalah sama, boleh menjadi pencetus kepada ekzema di seluruh badan bayi.

Sekiranya keadaan menjadi teruk, anda dinasihatkan untuk membawa bayi berjumpa dengan doktor pakar untuk pemeriksaan lanjut. Walau apa pun, jangan khuatir kerana masalah ini biasanya tidak memberikan kesan yang serius selagi nasihat doktor diikuti dengan penuh tekun. Biasanya masalah ini boleh sembuh dalam masa beberapa hari.

Rawatan untuk mengatasi masalah ini sangat ringkas. Apa yang perlu ibu bapa atau pengasuh bayi lakukan ialah anda perlu lebih prihatin dengan tempoh masa bayi menggunakan lampin. Tukarlah ia sekerap mungkin atau sebaik mengetahui lampinnya sudah penuh biarpun masih baru digunakan

Dalam pada itu, semasa mencuci bahagian intim bayi, jangan sekali menggunakan tisu basah. Hal ini perlu dihindari kerana berkemungkinan bayi sensitif dengan kandungan tisu berkenaan lalu boleh menyebabkan masalah ruam lampin menjadi lebih teruk.

elakkan menggunakan tisu basah ketika mencuci bahagian sulit bayi

Sebaliknya gunakan air paip yang dijamin bersih semata-mata. Bagi anda yang gemar menggunakan tisu basah, bolehlah bertukar kepada penggunaan bebola kapas atau cotton wipe yang dicelup dengan air paip terlebih dahulu. Penggunaan penyembur air pun dibolehkan. Asalkan anda menggunakan air paip yang bersih.

Setelah langkah pembersihan selesai, adalah amat penting untuk anda membiarkan bahan berkenaan benar-benar kering sebelum bayi memakai semula lampin yang baru.

Pencegahan Awal Ruam Lampin

Biasanya krim ruam lampin digunakan untuk mengatasi masalah ini. Namun, bagi mengelakkan daripada terjadi, anda turut digalakkan menggunakan krim yang sama. Krim ini dapat menjadi sempadan kepada (air kencing) atau najis daripada memberi alahan kepada kulit bayi.

Alahan Boleh Membawa Maut

Bagi masalah kulit yang ringan akibat alahan, sapuan krim pada kulit mungkin boleh membantu. Di samping itu, pastikan pengambilan makanan yang dapat membantu meningkatkan daya tahan tubuh anak secara dalaman.

Merujuk rawatan doktor, jika berlaku tindak balas alergi yang serius sehingga menyebabkan sukar untuk bernafas ia boleh mengancam nyawa anak anda. Dalam reaksi ringan, diberikan ubatan seperti tablet antihistamin secepat mungkin. Jika alahan yang serius menjadi teruk suntikan adrenalin biasanya perlu diberikan dalam pertolongan cemas untuk mengelakkan perkara-perkara yang serius dan tidak diingini.

Pencegahan Awal Alahan Kulit

Apabila ibu bapa mengetahui anak mengalami alahan, tindakan pencegahan awal perlu dilakukan dengan mengawal pengambilan makan yang boleh mencetuskan alahan dan persekitaran  yang boleh menjadi penyebabnya. Bagi anak-anak di tadika, ibu bapa harus maklumkan kepada pihak tadika dan ajar anak apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan bagi mengelakkan berlaku simptom yang serius.

pantau pemakanan bayi yang boleh menyebabkan alahan

Impetigo Bukan Masalah Serius

 

Masalah kulit jenis ini yang turut dikenali sebagai impetigo ini amat jarang berlaku. Biarpun begitu, anda masih perlu berwaspada dengannya. Tahap kebersihan perlu dititikberatkan setiap masa kerana ia adalah punca utamanya.

Jangkitan kulit ini disebabkan oleh bakteria streptococcus atau straphylococcus. Lazimnya, hal ini berlaku di kalangan bayi dan kanak-kanak kecil sahaja. Sebab utamanya ialah masalah tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

Impetigo boleh berlaku jika kurang menjaga kebersihan diri

Masalah akan berbangkit terutamanya kepada si kecil yang suka bermain tanah dan tidak membersihkan tangan dan diri dengan sempurna. Apabila jangkitan berlaku, si kecil ini akan menggaru bahagian tubuh dijangkiti. Jari atau tangan yang terdedah dengan kuman jangkitan mungkin berpindah ke bahagian tubuh yang lain. Maka penularan impetigo berlaku daripada situ.

Paling membimbangkan ialah penularan itu boleh berpindah kepada orang lain pula termasuklah orang dewasa. Perlu anda maklum bahawa kulit ini boleh juga berlaku kepada golongan dewasa yang sama-sama tidak menjaga tahap kebersihan diri dan kawasan sekitar. Hal ini disebabkan pada kulit manusia yang sihat pun, bakteria streptococcus atau straphylococcus sememangnya sedia wujud

Sehubungan itu, bagi golongan kanak-kanak mahupun dewasa yang mengalami ekzema, masalah ini tentu sahaja menimbulkan masalah yang lebih teruk. Antara lain, jika si kecil mahupun anda sendiri digigit nyamuk dan mengalami luka kerana menggaru terlalu kuat, luka berkenaan boleh terdedah kepada bakteria streptococcus atau straphylococcus ini dan akhirnya menyebabkan masalah impetigo berlaku.

 Masalah ini tidak serius. Hanya perlukan rawatan luaran. Hanya jika masalah berlarutan akibat daripada tahap kebersihan yang tidak sempurna, doktor akan berikan antibiotik. Dalam kes yang terpencil, ada yang mengalami masalah serius sehingga menyebabkan masalah buah pinggang iaitu acute glonerulonephritis. Walaupun jarang berlaku, penyakit ini serius.

Pencegahan Awal Impetigo

amalkan membasuh tangan sejak kecil

Apa yang penting ialah amalkan kebersihan diri setiap masa di mana pun jua. Anda sebagai ibu bapa perlu mengajar anak kecil ini untuk mengamalkan basuh tangan dengan kerap terutamanya apabila berada di kawasan yang ramai orang. Jadikanlah kebiasaan melakukan rutin membasuh tangan ini di rumah mahupun ketika di luar rumah.

Moga perkongsian ini memberi manfaat kepada semua.