Alhamdulillah syukur Allah pilih kita untuk berada dalam madrasah Ramadan tahun ini. Sebuah nikmat besar untuk sekalian muslim.

Dalam usaha kita sebagai ibubapa meningkatkan kualiti Ramadan, ini jugalah peluang kita melatih anak-anak berpuasa. Melatih anak berpuasa memang memerlukan pada kesabaran, dan tak kurang juga pelbagai kenangan indah muncul di saat itu.

Kali pertama anakanda Fateh belajar berpuasa pada usia 6 tahun. Alhamdulillah ia dimulakan dengan kesediaannya sendiri. Masa tu saya hanya sasarkan anakanda Fateh berpuasa sehingga jam 12 tengahari.

latihanakpuasa

Alhamdulillaha ada hari yang boleh sampai jam 2.30 petang, dan ada juga yang terbabas seawal 11.30 pagi kerana kecuaian ummi. Tambahan pula anakanda Fateh hanya bersahur dengan minuman coklat, memang takda tenaga kan.

Walaupun berpuasa separuh hari, saya tetap beri peluang anakanda Fateh rasai keseronokan berbuka.

… Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan semasa berbuka puasa, dan kegembiraan semasa bertemu Tuhan-Nya…

[Riwayat Muslim, Ahmad, al-Nasa’ie dan Ibn Majah]

Menjelang ‘waktu berbuka’ untuknya, saya akan hidang makanan dan minuman kegemarannya. Paling penting ialah air bandung. Selain itu mesti ada karipap tanpa inti dan kismis. Saya akan ucapkan tahniah apabila anakanda Fateh berjaya berpuasa sehingga jam 12.

latihanakpuasa

Yang menariknya bila saya biasakan untuk hidang makan berbuka untuknya, saya boleh lengahkan waktu berbuka. Bila dia leka dan tak bertanya pasal makan, saya tak sediakan makanan. Dan dia sendiri pun tak sedar masa berlalu.

Jadi memang ada hari yang anakanda Fateh boleh berpuasa melangkaui waktu zuhur. Ok la kan untuk anak 6 tahun. Lagipun anak saya kurang makan dan badan bersaiz kecil. Jadi dapat berkuasa separuh hari pun dah kira kejayaan pada usia tu.

Yang pentingnya kita raikan usaha anak kita. In syaa Allah berpuasa akan jadi pengalaman indah untuk anak kecil tu. Ia bukan dilakukan kerana terpaksa tapi atas kehendak sendiri.