Apabila berkumpul dengan ibu-ibu, saya suka menjadi pendengar yang setia supaya dapat cedok ilmu dari pengalaman mereka. Walaupun anak masih kecil, biar pengalaman yang mereka lalui tu jadi panduan untuk kita. Antara topik yang sering hangat dibincangkan ialah kerisauan mengenai anak malas belajar.

Anak malas belajar biasanya merangkumi topik anak lambat belajar membaca, anak tak minat subjek matematik, anak malas buat kerja rumah sehingga isu bangun lewat dan ponteng sekolah. Sebagai ibu yang juga guru, saya cuba menghadam setiap perkongsian maklumat ini berdasarkan pengalaman peribadi saya.

Di sini saya catatkan beberapa masalah yang menyumbang kepada isu anak malas belajar mengikut pemerhatian saya sebagai seorang guru di sekolah menengah.

Persekitaran membesar yang selesa

Persekitaran membesar yang penuh dengan kasih sayang dan selesa untuk anak  menjadikan mereka sentiasa yakin untuk belajar. Anak yang tinggal dengan keluarga di rumah sendiri biasanya datang sekolah dengan keperluan asas yang cukup. Mereka sudah cukup tidur, sudah bersarapan dan bersemangat untuk mengikuti aktiviti pembelajaran.

Pelajar sekolah menengah

Gambar sekadar hiasan. Kredit : www.smkbbst.wordpress.com

Bagi murid yang datang dari keluarga besar, tinggal di rumah yang sempit untuk bilangan ahli keluarga atau tinggal bersama nenek memang ramai situasinya sangat berbeza. Mereka datang ke sekolah lambat, selalu tertinggal barang dan suka bermain-main di sekolah. Sekolah seperti tempat untuk dia melepaskan tekanan dari tempat tinggal yang tidak selesa.

Gaya hidup yang teratur

Pengalaman mengajar di bandaraya Pulau Pinang menjadikan saya insaf dengan cabaran hidup di bandar. Majoriti ibu dan bapa mereka bekerja. Anak-anak banyak menghabiskan masa sendirian di rumah ataupun bersama kawan-kawan.

Ramai yang ibubapa hanya pulang selepas 9 malam, dan baru bawa pulang makanan untuk makan malam. Pukul 10 malam baru selesai makan malam, sambil menonton televisyen. Agak-agak pukul berapa anak akan buat kerja rumah? Dan pukul berapa anak akan masuk tidur?

Dan seterusnya pukul berapa anak akan bangun keesokan harinya?

Semua ini akan dapat diurus dengan lebih baik apabila salah seorang ibu atau bapa berada di rumah lebih awal. Anak dapat siapkan kerja rumah lebih awal, makan makanan yang dimasak di rumah dan boleh masuk tidur lebih awal.

Pelajar sekolah rendah

Kesediaan murid semasa belajar akan menjadikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar

Anak yang cukup tidur ini akan datang sekolah dengan bertenaga dan minda mereka cukup bersedia untuk menyerap ilmu yang disampaikan oleh guru. Anak-anak ini tak semestinya datang dari keluarga berada. Ada saja yang bapanya pekerja am, tapi ibunya memilih untuk berniaga sambilan di rumah dan uruskan anak-anak sendiri.

Kehidupan mereka sangat sederhana. Namun kemuncaknya anak-anak ini lebih berjaya dari aspek sahsiah mahupun akademik atas kejayaan ibubapa mereka mengatur gaya hidup yang sesuai untuk tumbesaran anak-anak.

Tidak mengamalkan pemakanan sihat

Saya berasal dari kampung, dan Alhamdulillah hidangan utama setiap hari adalah makan di rumah. Makan di kantin lebih bersifat melapik perut mahupun suka-suka.

Semasa kali pertama mengajar di sini, saya sangat terkejut melihat corak pemakanan anak-anak bandar. Oleh kerana ibubapa mereka bekerja, jadi mereka bawa duit belanja yang agak besar nilainya pada saya. Kebanyakan mereka tidak bersarapan di rumah. Jadi ada yang seawal pagi sudah singgah di gerai-gerai makan untuk bersarapan. Mereka keluar awal dari rumah kerana menaiki bas awam.

Pada waktu rehat, majoriti murid makan nasi dalam kuantiti yang banyak terutamanya yang belum bersarapan. Selepas rehat jenuh cikgu nak berperang dengan golongan ‘syahid’ dalam kelas ni.

Pelajar mengantuk dalam kelas

Pengambilan makanan berat semasa waktu rehat sangat memberi kesan kepada        stamina pembelajaran

Selepas waktu sekolah, jelas kelihatan di sana sini mereka akan mula membeli makanan yang kurang sihat. Minuman berkarbonat, minuman botol yang manis, keropok bungkus besar dan lain-lain. Keropok twisties bungkus besar habis dimakan seorang diri saja. Itulah ‘minum petang’ anak-anak didik saya.

Dan untuk yang akan ke kelas tuisyen seisi malam, mereka akan makan malam di kedai makanan panas. Nasi paprik, tomyam seafood, nasik goreng adalah makanan harian mereka. Jika dulu saya melihat ia ‘makanan yang mewah’. Tapi bila melihat anak-anak didik saya menikmatinya dengan ‘terpaksa’, saya sangat terharu melihat kehidupan mereka. Besarnya cabaran hidup mereka di tengah bandaraya ini.

 

Inilah kitaran hidup harian murid-murid di bandar yang sempat saya selami sehingga hari ini. Kitaran hidup ini menjadikan usaha mereka untuk berjaya menjadi sukar walaupun ramai antara mereka yang cerdik. Hanya yang betul-betul teguh pendirian sahaja yang berjaya melaluinya. Dan ramai antara mereka yang tercicir dalam perjalanan.

Sedangkan murid yang datang dari latar keluarga yang teratur kehidupannya, walaupun kemampuan inteleknya sederhana akhirnya mereka tetap melakar kejayaan sebelum habis zaman persekolahan.

Sekadar coretan pemerhatian seorang pendidik di hutan bandar. Pada hemat saya, kita memang boleh bantu anak menjadi lebih baik dengan memberi makanan minda seperti Tablet Genius RR4U ini. Namun usaha yang lebih utama ialah menyediakan tempat tinggal dan gaya hidup yang terbaik untuk menyokong tumbesaran anak. Dan gabungan kedua ya in syaa Allah akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Wallahualam.