Teks : Sakina Hamid

Foto : Google

Sambut Anak Bangun Tidur? Perlu ke?

Jawapan saya, buat ja dulu. Pasti anda boleh melihat perubahan positif dalam keluarga, in syaa Allah. Saya sendiri tak mulakan rutin sambut anak bangun tidur ni masa anak sulung pun. Tapi bila saya dah mula budayakan dalam keluarga, suasana waktu pagi keluarga kami pun mula berubah.

Ceritanya bermula ketika saya menghantar anakanda Faqihah ke Hadanah Pusat Islam, USM ketika dia berusia 1 tahun. Pusat jagaan ini mengamalkan konsep terbuka di mana ibubapa boleh datang menyusukan anak dan bermain pada bila-bila masa. Seringkali apabila saya sampai pada waktu petang untuk mengambil Faqihah, dia sedang tidur.

Jadi saya akan menunggu sehingga dia bangun kerana tidak mahu menggangu rutin tidurnya. Anak-anak saya kalau dah diangkat memang tak bersambung tidurnya. Sudahlah awal pagi saya dah ganggu tidur mereka, jadi kalau saya sampai pada waktu petang dan dia masih tidur saya akan tunggu dia bangun.

Di situ saya dapat melihat budaya sambut anak bangun tidur yang sungguh ceria. Apabila anak-anak di situ bangun dari tidur pengasuh akan terus mengucapkan salam dan menegurnya. “Assalamualaikum Nur Faqihah binti Shamsul Ery”. Nama penuh la kau! Dan basa basi teguran lain seadanya.

Dari situ saya belajar dan praktikkan untuk kedua-dua anak saya di rumah. Dan menakjubkan walaupun saya hanya mulakan kepada anakanda Fateh setelah dia berusia hampir 4 tahun, namun rutin itu cepat melekat padanya.

Apabila dia melihat adiknya terjaga, cepat-cepat dia akan panggil saya dan cakap “Ummi..cepat Assalamualaikum adik”. Dan dilanjutkan hinggalah apabila abahnya dan saya baru bangun tidur.

Iya..satu suasana yang positif pada saya. Jika kebiasaannya kalau kita ni jenis bangun tidur muka cong masuk bilik air, ambik masa pulak lepas tu nak mulakan perbualan. Tapi dengan kalimah salam suasana berubah dengan mudah. Pastinya salam dan senyum itu akan beriringan.

Tambahan apabila anak semakin membesar, biasanya saya sudah mula mengadap komputer pada awal pagi. Alhamdulilah dengan rutin ini, anak yang bangun akan datang ‘lapor diri’ kepada saya untuk mendapatkan ucapan salam. Sekurang-kurangnya tidaklah mereka melapor diri pada remote tv kan. Semoga amalan ini akan terus subur dalam keluarga kami dan anda yang membaca perkongsian ini. Ameen.