Saya takda idea nak menulis, boleh saya ‘copypaste’ tulisan puan tak?

Setiap kali diajukan soalan ini, saya memilih untuk diam. Kerana jawapannya panjang. Ia melibatkan penjelasan pandangan dan huraian, persoalannya adakah si penanya itu berminat untuk membaca? 😀

Secara zahirnya, semua ilmu itu milik Allah. Jadi apa sahaja ilmu yang tersebar, semua orang berhak mempelajarinya. Tak perlu minta izin pun, milik Allah kan. Dimana-mana sahaja kita temui mutiara ilmu, kutiplah ia.

Kalau perlu bayaran pun, bayarlah. Kerana seringkali bayaran itu bukan atas harga ilmu, namun untuk menampung kos-kos untuk menjayakan majlis ilmu tersebut.

Namun dalam konteks tulisan, ada adabnya di situ. Kerana penulis asal tulisan itu bertanggungjawab atas tulisan tersebut. Apatah lagi tulisan yang pendek dalam bentuk status media sosial, entri blog peribadi dan rencana di majalah. Seringkali tulisan ini adalah rumusan dari banyak fakta lain yang tidak dapat dihuraikan sepenuhnya. Ia ditulis dengan tujuan merangsang pembaca mendalami ilmu tersebut sendiri.

Dan seringkali jugak tulisan pendek menjadi perbahasan kerana ada pertikaian fakta. Tapi bagi penulis yang sudah memahami konteks ilmu tersebut dengan luas, beliau dapat menghuraikan kekeliruan itu dengan mudah.

Tapi bagi orang lain yang hanya copypaste tulisan tersebut, adakah beliau mampu untuk menghuraikan penjelasan ini?

Dalam konteks orang yang meniru juga, ia secara tidak langsung akan menjejaskan kreadibiliti diri sendiri. Tulisan mempunyai seninya yang tersendiri. Hasil tulisan setiap individu tidak sama walaupun adik beradik kembar. Kerana hasil tulisan itu adalah penzahiran dari susur galur pemikiran masing-masing.

Penulisan seseorang boleh dipengaruhi oleh penulis yang dia minati. Contohnya pembaca tulisan Pak Hamka mungkin terpengaruh dengan gaya tulisan beliau, namun tidak mampu menulis sebagus beliau. Kerana menulis bukan hanya dari hujung tinta, namun ia bermula dari sebuah jiwa yang tulus.

Kerana itu bila kita meniru hasil tulisan orang lain, kita hanya dapat menambah koleksi tulisan. Tetapi tidak mendapat kebaikan dari tulisan tersebut. Seringkali kita mendapat mesej tazkirah di whatsapp yang panjang lebar di dalam grup, namun ia berlalu begitu sahaja.

Ini kerana yang menyebarkannya pun tidak mempunyai iltizam untuk beramal, jadi bagaimana ia dapat merangsang orang lain. Ia berbeza dengan kita membaca mesej yang kita tau sumbernya dengan jelas. Mesej begini dapat memberi impak untuk beramal dengan lebih berkesan.

Akhirnya kita menemui terlalu banyak tulisan, namun membacanya sedikit pun tidak bebekas di jiwa. Tidak melahirkan iltizam untuk beramal. Lalu apakah tujuan kita menulis?

Berbalik pada isu tiada idea nak menulis, cuma jawab dengan jujur pertanyaan ini. Tiada idea atau nak cari jalan mudah? -_-

Idea menulis boleh datang dari mana-mana. Dari bahan bacaan, dari ceramah/seminar, dari wawancara, dari pemerhatian malah dari sembang-sembang bersama orang berilmu pun akan mencambahkan banyak idea untuk menulis.

Persoalannya, adakah kita buat semua aktiviti pencarian ilmu ini? Jika ya, pasti tiada masalah untuk dapatkan idea. Kerana menulis hanyalah intrepetasi idea yang terbit selepas memproses ilmu yang kita dapat.

Jadi kalau tiada idea, penyelesaiannya bukan tiru tulisan orang lain.

Tetapi cari ilmu dan fahaminya dengan mendalam sehingga muncul rasa untuk berkongsi dengan orang lain. Itulah IDEA!