Kami sudah lama merancang untuk ke Cameron Highlands hujung minggu lepas. Suami pun awal-awal lagi dah mohon cuti.

Tapi bila cuaca sejuk melanda seluruh negara baru-baru ini, saya jadi goyah juga la nak teruskan perancangan ini. Dekat rumah pun berbaju sejuk sentiasa, inikan pula nak ke tempat yang memang dah sejuk. -_-

Alhamdulillah awal minggu lepas cuaca dah kurang sejuk. Jadi kami pun buat keputusan untuk teruskan percutian ini. Perancangannya kami akan bertolak awal pagi sabtu, jadi sebelah petang masih ada masa untuk lawatan.

Sekali hari rabu Fateh pulang bersama surat makluman perlu ke sekolah hari Sabtu. Program melibatkan kehadiran ibu bapa pulak tu. Aduh..memang rasa nak pejam mata ja dengan program sekolah tu sebenarnya. Tapi sebab pernah jadi guru dan terlalu memahami pengorbanan sang guru, maka terpaksalah hadir jugak untuk program tersebut.

Maka menjelang tengahari barulah kami bertolak dari Pulau Pinang. Nampak cuaca pun gelap ja bila dah masuk negeri Perak. Sampai di Brinchang hampir jam 5 petang ketika hujan tengah lebat. Dan kebanyakan pusat-pusat lawatan pun dah ditutup.

Jadi kami pun terus ke hotel yang dirancang untuk penginapan. Sebelum datang saya dah semak beberapa pilihan hotel melalui trivago.com. Tapi sekadar untuk pengesahan saya bertanya juga di kaunter untuk banding kadar bayaran.

Pilihan pertama Iris House hotel di Brinchang. Bila tanya dari kaunter, harga bilik berbeza RM16 dari web trivago. Terus masuk kereta dan buat tempahan di web. Dapat ja mesej pengesahan tempahan kami pun check-in.

Alhamdulillah bilik yang selesa untuk 2 orang anak yang sedang membesar. Secara umumnya saya berpuas hati dengan keadaan bilik sesuai dengan kadar bayaran rm145 untuk deluxe room (single bed 2). Lagipun datang nak berjalan kan, bukan nak duduk kat bilik sangat pun.

Irishousehotelcameronhighlands Irishousehotelcameronhighlands

Malamnya kami keluar makan sambil meninjau jalan untuk aktiviti esok. Memang Cameron highlands ni waktu malam macam tak hidup langsung untuk aktiviti pelancongan. Hanya kedai makan yang masih beroperasi.

Hari kedua cuaca cerah dan tidak hujan. Alhamdulillah, rezeki untuk kami melihat keindahan alam semulajadi dengan mata sendiri. Usai bersarapan kami terus ke Ladang Teh Sg Palas. Ia tempat yang saya hajati untuk bawa lawatan sekolah beberapa tahun lepas tapi tak kesampaian.

ladangtehBohSgPalasCameronHighlands2

Dengar khabarnya ada kilang memproses teh di situ. Dan pemandangannya lebih menarik dari ladang teh di tepi jalan utama. Oleh kerana kami datang awal pagi, trafik sangat selesa tanpa kereta berselisih.

Dan bila sampai memang benarlah seperti cakap-cakap orang. Memang saujana mata memandang ladang teh nya. Masya Allah cantik sungguh. Dan ada sebuah kilang teh yang masih beroperasi. Kita boleh masuk untuk lawatan tapi hanya tengok melalui cermin ja la.

Malangnya anak-anak tak berminat pun nak tengok kilang teh tu. Aduh..punya la gigih masuk jauh-jauh. Fateh masuk ja dah tutup hidung dengan bau daun teh basah yang sedang diproses. Memang bau tu tidaklah seindah aroma teh di dalam cawan.

Jadi lepas melawat kilang dan bergambar dengan pemandangan kami pun balik. Dan bermula lah perjalanan yang ngeri sebab kereta semakin banyak keluar masuk. Bila berselisih tu rasa nak menjerit tengok kereta depan tinggal sipi-sipi jalan ja tayarnya atas jalan. Jalan sangat kecil untuk berselisih antara kereta dan bas dan tiada penghadang tepi jalan.

ladangtehBohSgPalasCameronHighlandsjem

Apa-apa pun Alhamdulillah sampai dah kami ke ladang teh Boh yang terkenal tu. Kalau nak pergi lagi rasa kena fikir berkali-kali la jugak. 😛

Keluar dari Ladang Teh kami pun bergerak ke Taman Agrotek MARDI. Saya memang suka pergi sini sebab banyak pengalaman boleh dapat dari sini. Dan Faqihah sangat enjoy berada di sini. Siap angkut pokok bunga lagi bawak balik. Naturalist kan.

TamanAgrotekMardiCameronHighlands

Dekat tengah taman ni ada Cafe Al Mashoor Stawberi farm. Melompat lah anak-anak yang sejak semalam asyik nak makan stawberi. Suami pun beli aiskrim stawberi homemade yang ada potongan buah kat atas tu.

Alih-alih anak-anak tak makan habis pun. Rasa pelik katanya. Dah la mahal, geram jugak la dengan diorang. Selama ni aiskrim perasa tiruan tu habis pulak makan. Itulah banyaknya lidah kita ni dah tertipu dengan perasa sintetik kan.

Masa nak hampir habis melawat tu hujan turun dengan sangat lebat. Maka terperangkaplah kami di sini. Mujurlah ada surau berhampiran, jadi kami solat Zohor sementara tunggu hujan teduh.

Usai solat Zohor hujan pun reda. Terus berlari ke kereta dan hujan pun turun semula. Mujurlah dah dapat bergerak kan. Kami plan nak ke ladang stawberi di Taman Kampung Sedia. Oleh kerana hujan kami main berenti ja.

Rupa-rupanya KZ Farm yang kami berhenti ni lebih pada tempat makan dalam ladang strawberi. Tak boleh petik stawberi pun, jual pun tak. Adoi..silap tempat la pulak. Dah alang-alang singgah tu makan jer la. Kempunan ambo nak makan scone kat Kg Sedia yang glamer tu.

Saya dan suami makan mee kari, anak-anak makan nasi lemak. Ok lah makanan nya, sedap dan harga berpatutan. Lepas makan pun masih hujan. Jadi nak cuba singah ke ladang stawberi berhampiran pun rasa malas. Akhirnya buat keputusan tak jadilah bawa anak ke ladang petik stawberi. Keadaan kurang mengizinkan.

Masa nak bergerak turun tu suami dah cakap lagi sejam baru kita sampai kat Kea Farm. Saya fikir biar betul, 5km ja pun. Tapi memang betul pun, pukul 4.30 baru lalu kat Butterfly Farm. Pukul 5 dah tutup. Dengan masa yang suntuk dan hujan tu kami batalkan untuk singgah kat situ.

kesesakanjalanrayadicameron

Lepas singgah beli sayur dan stawberi, kami pun bertolak pulang sekitar jam 5 petang dari Tanah Tinggi Cameron Highland. Cukuplah 24 jam kami berada di pusat percutian yang terkenal dengan kesesakan jalan raya tu.

Walaupun sesak tapi tetap juga dikunjungi orang ramai pada hujung minggu (Jumaat – Ahad). Sebab kalau pergi hari biasa memang tak banyak tempat yang dibuka untuk lawatan terutamanya hari Isnin.

Jadi mengharung kesesakan lalu lintas tu macam satu kewajipan jugak lah bila ke tempat percutian macam ni. Cuma apa yang boleh kita lakukan ialah rancang tempat lawatan tu supaya tak perlu mengharung kesesakan berkali-kali.

Selamat bercuti!