Dulu-dulu kalau tengok budak tiup belon buih selalu fikir apa la yang best sangat main ni. Lenguh mulut kot. Kan sekarang dah ada pistol belon buih tu, senang sekali tembak berlambak-lambak belon keluar. Fuh..

Tapi tu dulu la. Dulu-dulu masa tak faham tentang perkembangan kanak-kanak. Zaman kegelapan. Uhuks!

Selepas bertemu dengan terapis carakerja barulah saya tahu rupanya meniup belon adalah salah aktiviti yang bagus untuk membantu fisiologi mulut anak berkembang dengan optimum. Dan perkembangan fisiologi mulut penting bagi memastikan anak dapat bercakap pada usia yang sepatutnya. Lepas tau tu jumpa belon kat mana pun ummi belikan ja. Sebelum tu memang rimas, belengas kan. 😛

Kalau nak guna belon biasa pun boleh, konsepnya masih sama. Meniup belon akan menggerakkan otot-otot masa muka terutama bahagian mulut. Ia juga bagus untuk menghilangkan pelat.

meniup belon

sumber : brittanyestes.com

Selain belon, meniup wisel juga memberikan kesan yang serupa kepada mulut anak. Patut la banyak mainan kanak-kanak ada wisel kan, bukan nak suruh buat bising. Tapi nak bagi anak seronok meniup. Masa mula-mula bagi Fateh tiup wisel memang tak bunyi sangat, menyembur air liur ja banyak. 😛

Tapi dah selalu main sampai mak kena sorok pulak. Bingit kan. Lagi-lagi duduk rumah apartment ni kena la fikirkan keselesaan jiran jugak kan. Jadi nak selamat simpan wisel dalam kereta, bila pergi taman permainan bagi la anak jadi pengadil kat situ. Tiup la puas-puas hati. Jadi ibu bapa ni kena bijak, jangan kerana halangan tertentu kita terus tak bagi peluang tu kepada anak. Kerana mungkin dengan sikap kita ini akhirnya akan menjadi punca anak lambat bercakap.

Selain itu anak lambat bercakap juga elok didedahkan dengan mainan yang boleh menghilangkan gayat seperti buaian, jongkang jongket, permainan bergayut dan sebagainya. Secara psikologi, anak yang lambat bercakap ini ‘gayat’ nak mengeluarkan patah perkataan. Jadi kebiasaan mendedahkan anak pada mainan sebegini menjadikan anak lebih mudah untuk bercakap.

Nak terangkan panjang-panjang saya pun takda ilmu tentang tu, yang pasti anakanda Fateh memang gayat bila hayun buaian tinggi. Menjerit-jerit suruh hentikan. Berbeza sangat dengan anakanda Faqihah, dari setahun lebih macam tu dah suka suruh hayun buai dia tinggi-tinggi. Dan memang dia cepat mula bercakap, Alhamdulillah.

Semasa sesi terapi kebiasaanya anakanda Fateh disuruh berjalan di atas laluan palang sambil bawa pundi kacang. Sampai di hujung palang baling pundi kacang itu ke dalam bakul. Biasa dia akan ulang aktiviti ini sekitar 10 pusingan, barulah bertukar ke aktiviti lain.

Aktiviti keseimbangan

sumber : happyhooligans.ca – 10 backyard balancing activities

Ini adalah beberapa aktiviti yang saya sempat belajar semasa anakanda Fateh mengikuti terapi carakerja (Occupational Theraphy – OT). Alhamdulillah dengan pendedahan ilmu ini dan usaha yang berterusan, anakanda Fateh mula menunjukkan perubahan yang positif dalam tempoh 6 bulan. Dari pengalaman itu, kami merangsang anakanda Faqihah sejak kecil dan dia menunjukkan perkembangan yang lebih baik. Berbaloi sangat dengan sedikit pengorbanan menghadapi cabaran membawa anak ke terapi di hospital.

Lambat bercakap bagi anak normal biasanya berpunca dari kurang rangsangan sejak kecil. Jadi penting untuk ibubapa mengetahui bagaimana untuk merangsang perkembangan  fizikal dan merangsang pertuturan. Selain itu pemakanan minda yang betul juga sangat baik untuk diamalkan supaya anak dapat menunjukkan perkembangan yang lebih cepat.