Petang semalam saya temankan anak turun main kat padang permainan. Rutin harian kalau hari tak hujan. Anak dah besar-besar ni dah main sendiri, tapi mak kena turun jugak la atas faktor keselamatan.

Jadi nak isi masa tu selalunya saya briskwalk keliling taman permainan tu. Kadang-kadang berbual dengar cerita-cerita mahal warga emas. Boleh ambil pengajaran buat panduan kita yang  masih jauh perjalanan hidup. Kalau umur panjang la kan.

Selain tu kat padang permainan ni selalu boleh tengok ‘drama’. Drama anak nak singgah main tapi mak nak balik rumah. Drama anak dah main tapi tak puas-puas. Lepas tu mak angkat jugak anak, anak mengamuk sampai ke rumah.

Selalu tengok kan.

Dan mungkin kita pun pernah alami. -_-

Saya kongsikan pengalaman sendiri bagaimana untuk latih anak supaya tak berdrama bila nampak playground, dan tak berdrama jugak bila ajak balik.

Sebelum ke padang permainan

Sebelum sampai playground tanya dengan anak nak main tak. Kalau anak nak main cakap kita main kejap saja. Nanti lepas tu mak nak balik masak. Kalau anak kecil yang belum faham konsep masa, kita bagi tau tanda yang dia nampak. Contohnya naik gelungsor 10 kali kemudian balik.

Tanya anak boleh tak?

Anak angguk. Set!

Semasa di padang permainan

Bila dah sampai, bagi anak main sepuas hatinya. Kalau anak kecil kita main sama-sama. Pleeesee..handset tolong campak jauh-jauh. Nak selfie silakan, lepas tu update fb balik nanti. -_-

Sepanjang anak main tu jangan sebut langsung perkataan nak balik, cukup, dan apa sahaja yang bantutkan keseronokan anak. Biar anak lompat tinggi-tinggi, lari sekuat hati, gelak kuat-kuat. 15 minit pun dah berpeluh kan. Tangki emosi dah penuh.

Tara..inilah masa untuk ‘ungkit’ janji-janji manis tadi kan. Bagitau dia boleh main 3 kali lagi dan kita balik. Anak dah cebek, tengah seronok mak ajak balik kan. Selami perasaan anak.

“Adik seronok main kat playground?”

“Seronok”

“Ummi pun seronok tengok adik main. Tapi ummi kena balik masak, nanti kita nak makan sama-sama. Kita balik dulu ya, nanti hari lain kita datang lagi. In syaa Allah.”

Ada anak yang dengar ja kita cakap macam tu, terus dia pun turun dah mainan ikut kita balik. Anak ni biasanya yang memang mak ayah dia sentiasa kotakan janji. Jadi dia memang percaya dia akan dapat.

Untuk anak yang baru nak bermula, biasanya dia ada curiga dengan janji kita. Kalau tak jalan jugak memang guna cara paksaan ja. Tapi hari lain memang betul-betul bawa anak main lagi.

Dan ulang lagi kaedah tu sampai anak dah yakin dengan janji kita, tiada lagi drama in syaa Allah. Yang paling penting, tolong jangan berkira masa untuk bawa anak bermain. Dah la rumah sempit, taska/rumah pengasuh pun sempit lepas tu nak bawa pergi taman permainan pun berkira.

Pleasee..kata nak anak bijak, hidup terkurung macam tu macam mana otak nak cerdas, badan nak sihat. Korban kat rehat hujung minggu untuk bagi peluang anak main sepuasnya. Jadi bila hari bekerja anak main sikit-sikit pun dia rasa dah cukup.

Alhamdulillah anak-anak saya boleh tengok playground di mana-mana sahaja tanpa tantrum. Dekat RnR ke, masjid ke, tadika mahupun dalam kawasan rumah. Anak akan minta izin bermain. Kalau masa sesuai kami singgah main. Kalau tak saya cakap kenapa tak boleh singgah hari tu. Dan anak belajar untuk menerima keadaan tu.

Alhamdulillah.