Penyakit kulit boleh dirawat melalui beberapa cara alami. Berikut adalah beberapa tips yang boleh digunakan untuk melegakan masalah kulit:

Mandi menggunakan air garam

Apabila anak disahkan mengalami ekzema, corak pemakanan keluarga kami berubah kepada makanan yang lebih sihat. Untuk rawatan secara semula jadi, saya mandikan anak air garam berwarna merah jambu dan guna air sejuk sahaja. 

amalkan mandi dengan air garam

Selepas mandi, saya tidak lap, cuma tekan tubuhnya secara lembut menggunakan tuala. Dengan cara ini, saya dapati ia dapat melegakan kegatalan pada kulit anak saya. Saya juga amalkan anak-anak tidak makan makanan manis pada bulanan penuh iaitu 13,14,15 mengikut tarikh Islam pada setiap bulan  dan makanan penyebab alahan. Apa-apa pun, saya bersyukur ekzema anak ketiga saya, Eryqa sudah pulih. 

   -Siti nazemah-

Santan kelapa boleh bantu hilangkan kerak kepala

Anak kedua saya pernah mengalami kerak kepala semasa usianya dua bulan. Ia berlaku dalam tempoh yang lama sehingga saya membawanya mendapatkan rawatan pakar kulit. Akhirnya doktor mengesahkan ia berpunca daripada alahannya kepada susu lembu.

santan kelapa digosok pada kepala anak

Selepas bertukar kepada susu formula yang berasaskan soya, kerak pada kepalanya beransur hilang. Saya ada juga menggunakan petua menggosok kepala anak dengan kelapa parut setiap pagi sebelum mandi. Syukur dalam masa empat bulan setelah menukar susu dan menggosok dengan kelapa parut, kerak pada kepalanya hilang secara beransur-ansur.

-nor sarmila said-

Pakaian nipis yang memberi keselesaan

pemakaian pakaian yang nipis

Kawasan yang sering ditumbuhi ruam perlu dipastikan kering, terutama pada bahagian yang cenderung berlipat seperti leher, dan lengan. Air lebihan mandian, peluh dan lelehan susu boleh memburukkan lagi keadaan. Jadi saya pastikan anak dilap supaya kering dan bersih. Saya tidak gemar memakaikan bedak kepada mereka kerana mereka sering alah dan mengalami ruam pada kulit. Baju nipis berlubang boleh memberikan keselesaan pada bayi yang diserang ruam. Saya juga jarang menggunakan losen rumah kerana ruam hilang sendiri.

-Dr Hartinie Mohammad-

Hanya cuci dengan air paip

Masalah ruam kepada bayi saya berlaku disebabkan pengasuh yang kurang arif dengan penggunaan lampin moden. Sepatutnya, apabila menggunakan lampin moden, ia dapat mengelakkan bayi saya mengalami ruam lampin.

Namun, disebabkan lampin yang dipakai tidak kerap ditukar setelah dua hingga tiga jam dipakai, maka anak saya terkena ruam lampin. Tambahan pula anak saya kuat berpeluh. Masalah ini yang memburukkan lagi keadaan ruam itu.

cuci bahagian intim dengan air paip adalah lebih selamat dan bersih

Apa yang saya lakukan bagi mengatasi masalah ini ialah saya tidak menggunakan sabun untuk mencuci bahagian intim. Sebaliknya hanya menggunakan air paip dan cuci ia sebersih-bersihnya.

Saya juga dedahkan kawasan ruam kepada udara setiap kali menukar lampin moden bayi. Selain sabun, saya elakkan penggunaan bedak talkum. Antara lain, saya turut elakkan guna sabun berbau wangi dan pelembut pakaian ketika mencuci lampin moden anak saya ini.

Air beras kurangkan gatal ruam

Anak kedua saya pernah mengalami masalah masa umur tiga tahun. Kulitnya kemerahan dan gatal-gatal. Saya mendapatkan pemeriksaan doktor pakar dan didapati anak saya mengalami alahan makanan laut. Dia sekadar makan kuah tomyam yang ada sotong. Terus badan dan tangan kemerahan.

Dalam tempoh itu, selain kawalan pemakanan, saya mandikan anak saya dengan air beras. Syukur selama seminggu saya mandikan anak secara konsisten, alahannya dah berkurang.

air basuhan beras berkesan untuk mengurangakan kegatalan ruam

Lebih Prihatin Jaga Kebersihan

Semasa mengalami impetigo, saya segera bawa anak mendapatkan pemeriksaan daripada doktor. Banyak jenis ubat yang doktor berikan agar masalah yang dihadapi oleh anak saya ini dapat diatasi.

Selain daripada itu, saya turut dibekalkan dengan dua jenis mandian yang perlu digunakan setiap kali waktu mandi. Setelah mandi, saya perlu sapu ubat cuci dan krim khas untuk mengeringkan luka.

 Selain daripada ubat-ubatan doktor, saya turun mencuba menggunakan semburan air alkali bagi memastikan kulit anak saya kekal lembab. Kalau kulit itu kering, dikhuatiri, anak saya akan menggaru bahagian yang kegatalan dan menyebabkan luka sehingga meningkatkan risiko jangkitan.

Selepas daripada apa yang berlaku, saya dan suami sangat hati-hati dan lebih prihatin dengan apa sahaja yang dipegangnya.

Semua mainannya akan dibasuh dan direndam di dalam air suam. sekarang , anak mempunyai mandian khas dan tidak lagi gunakan sabun yang sembarangan.

Semoga tips dan petua yang dikongsikan dapat memberi manfaat kepada anda.