
Teks : Sakinah Hamid
Foto : Sakinah Hamid
Kali pertama saya lihat mainan labyrinth ini ialah di sebuah klinik kanak-kanak. Persepsi pertama saya, apalah faedah mainan ni, berpintal-pintal! Dan ia berlalu begitu sahaja. Sampailah suatu hari saya terdengar satu rancangan di radio ikim.fm mengenai rangsangan untuk mengajar anak membaca. Tetamu jemputan ketika itu ialah penulis siri buku cepat membaca yang laris di Malaysia – Siri Fonik Bacalah Anakku iaitu Tuan Othman Ahamad.
Selain teknik khusus untuk anak memahami fonik, Tuan Othman juga mendedahkan akitiviti rangsangan untuk anak cepat membaca. Antara yang dicadangkan ialah Mainan puzzle dan Labyrinth/bead maze ini. Rasionalnya, anak yang belajar membaca perlu mengecam bentuk-bentuk huruf dengan cepat. Dari situ mindanya akan gabungkan bentuk huruf dengan bunyi.
Dengan bermain Labyrinth, anak perlu mengecam laluan untuk guli tersebut. Dengan bentuk yang berlingkar-lingkar, ia akan menjadi cabaran untuk anak kecil mengecam laluan dengan cepat. Dan apabila mereka berjaya membawa guli ke hujung, kepuasan diri akan terserlah. Sekaligus ia akan meningkatkan keyakinan diri anak.
Selepas mendengar slot ini, saya terus singgah ke kedai pembekal Educational Toys saya dan dapatkan 1 unit untuk anak. Walaupun ketika itu anakanda Fateh sudah berusia mencecah 3 tahun, tapi dia masih berminat dengan mainan ini. Alhamdulillah.
Mainan ini nampak ringkas namun mampu membuatkan anak kecil leka bermain untuk tempoh yang lama. Secara tidak langsung ia juga melatih daya fokus anak ke tempoh yang lebih panjang.

Faqihah (2 tahun) sedang bermain labyrinth saiz sederhana
Mainan Labyrinth juga selamat untuk anak-anak kecil kerana gulinya disusun dalam lingkaran tertutup. Tiada risiko anak tertelan objek kecil. Permukaannya juga tiada bucu-bucu tajam.
Semasa bermain, anak perlu gunakan 3 jari untuk memegang guli. Secara tidak langsung ia akan menguatkan otot-otot kecil di jari bagi membantu perkembangan psikomotor halus yang lebih optimum.
Secara keseluruhannya mainan labyrinth ini sangat bagus untuk merangsang pelbagai aspek perkembangan kanak-kanak. Ia sesuai seawal anak sudah boleh duduk untuk bermain Ia boleh didapati dalam pelbagai saiz tetapi saya kurang menggalakkan ibubapa dapatkan saiz yang terlalu kecil. Lingkarannya terlalu sedikit dan kurang mencapai tujuan asal mainan tersebut.

Labyrinth bersaiz besar adalah paling ideal untuk anak bereksplorasi
Bagi ibubapa yang berminat mendapatkan mainan Labyrinth boleh klik di SINI.