Teks : Sakina Hamid

Foto : Sakina Hamid & Google

Umum mengetahui keburukan tv dan gajet kepada perkembangan kanak-kanak, namun seringkali kita gagal untuk ‘mengeluarkan’ tv dari rumah kita. Anak saya sendiri pernah mengalami beberapa fasa ketagihan tv. Dan saya berusaha mencari jalan supaya ketagihan itu terkawal dan dalam masa yang sama anak dapat buat lebih banyak aktiviti bermanfaat bersama mereka.

Awal tahun 2016, saya hadir ke sebuah seminar kaedah hafazan Al Quran di rumah. Semasa dalam seminar tersebut, saya fikir semua itu mampu saya buat, tapi hanya kerana tak uruskan masa dengan baik jadi semuanya hanya tinggal keinginan. Pagi anak ke sekolah, petang mengadap kartun, hanya selepas waktu maghrib nak buat apa-apa aktiviti pun. Sedangkan saya mempunyai sedikit waktu petang bersama mereka.

Jadi selepas pulang dari seminar tersebut, saya nekad untuk cabut wayar aireal televisyen dan anak-anak hanya menonton VCD pada tempoh tertentu. Dari pemerhatian saya , ini adalah 5 Kebaikan Rumah Tanpa Siaran Televisyen.

1) Anak ada banyak masa lapang

Apabila ada siaran televisyen, ia menguasai perjalanan masa di rumah.  Bila kita suruh anak buat sesuatu, dia akan minta sampai waktu iklan. Dan bila kita biarkan, sampai 2,3 kali iklan anak masih tak bangun-bangun. Anak seperti sentiasa berkejar masa hanya kerana tidak mahu terlepas cerita-cerita kegemarannya.

Ia berbeza dengan anak menonton VCD. Apabila anak ada sesuatu keperluan, mereka akan tekan ‘pause’. Dan kalau mereka terlepas sesuatu bahagian, mereka akan rewind semula. Mereka tiada sindrom ‘takut ketinggalan sesuatu’.

2) Fokus pada tv berubah kepada perkara bermanfaat

Bangun pagi pada hari cuti, anak terus cari remote. Pergi mana-mana, bila sampai rumah terus cari remote. TV seperti satu agenda yang sangat utama dalam hidup anak-anak. Alhamdulillah bila tinggal tv tanpa siaran, dunia anak di rumah lebih luas. Sampai rumah tengok buku-buku yang terbaru, jenguk pokok, jenguk adik, buka peti sejuk dan sebagainya. Anak jadi lebih peka dengan persekitaran rumah.

3) Komunikasi yang lebih berkesan

Semasa anak ketagihan tv tahun lepas, saya perasan satu perkara. Semasa menonton , anak akan jadi acuh tidak acuh pada perkara lain. Semasa bercakap dengan saya, mata anak masih di tv. Kadangkala waktu makan, nasik berterabur kerana matanya tak pandang pun pada makanan. Pada saya ia sikap yang buruk.

Bercakap tanpa melihat muka adalah tidak beradab. Dan bukan anak-anak yang bersalah dalam hal ini, tetapi kita yang menyediakan ruang mereka terleka dengan dunia sendiri.

4) Anak tanya nak buat apa

Kalau dulu, mak mencari-cari masa nak buat aktiviti dengan anak. Tapi sejak tidak tiada siaran tv, anak pula paksa mak buat aktiviti bersama. Memang ada VCD sebagai pengganti, tapi dengan cerita-cerita yang terkawal anak pun hilang ketagihan. Mereka hanya menonton sekitar sejam, kemudian mula bertanya apa aktiviti nak dibuat. Sampai mak pulak terkejar-kerja nak buat kerja di samping sediakan aktiviti bermanfaat untuk anak-anak.

5) Anak pandai cari aktiviti sendiri

Alhamdulillah, semakin hari anak semakin pandai mencari aktiviti lain. Selepas menonton DVD kegemaran mereka seketika, mereka ambil kertas untuk melukis imaginasi mereka mengenai animasi tadi. Kemudian mereka akan menceritakan kepada saya tentang hasil lukisan tersebut. Kadangkala mereka berlakon seperti sedang menyampaikan ‘story telling’. Dan pastinya aktiviti utama anak-anak ialah membaca. Suasana sebegini amat sukar diwujudkan apabila siaran tv menguasai rumah.

Belum setahun saya cabut wayar aerial, saya sudah melihat banyak kebaikan rumah tanpa siaran televisyen. Alhamdulillah. Walaupun saya belum mampu berdisiplin mengisi masa berkualiti bersama anak sepenuhnya, namun tanpa gangguan dari tv proses mendidik anak semakin mudah.

Kawan-kawan nak merasai kebaikan rumah tanpa siaran televisyen jugak? Jom bertindak!