Persediaan Penting Anak ke Darjah 1

0
708
views
muridsekolahrendah

Wah..nak masuk darjah 1 pun kena bersedia ke? Yer la, ibubapa sekarang kan semakin peka dengan perkembangan anak-anak. Anak nak masuk tadika pun dah survey macam nak pilih aliran tingkatan 4. 😛 Nak masuk darjah 1 mesti lah kena tau apa persediannya kan.

Secara peribadi saya tak nak pun tekankan anak dengan sistem berorentasikan peperiksaan ni. Tapi kita tidak dapat mengelak untuk berfikir tentang tu. Dah kita nak hantar anak ke dalam sistem tu kan, nak tak nak kena la juga pastikan anak kita mampu mengikuti sistem itu dengan baik.

Alhamdulillah semalam ibubapa dijemput untuk ambil keputusan peperiksaan di sekolah anak saya. Masa cuti raya baru-baru ni saya ada semak keputusannya. Tengok markah semua ok Alhamdulillah. Tak mengharap apa-apa pun sebab dia cakap kawan kelasnya ada yang dapat markah lebih tinggi.

Dalam hati fikir kalau dia dapat tertinggi 1 pelajaran pun ok dah. Merasa la naik pentas jugak kan. Buat semangat untuk dirinya sendiri. Yer la, sekolah kat bandar. Dengar cerita kawan kelasnya pergi kelas tambahan sana-sini, mestilah lebih bersedia kan.

Anak sendiri ni bukan setakat tak hantar kelas tambahan, nak ajak ulangkaji pun tak nak. Siap cakap dengan penuh ‘steress!’

“hari-hari cikgu ulangkaji, buat benda sama ja. Ni ummi pun nak buat benda sama jugak”

Kesian pulak kat anak.

Anakanda Fateh masih sibuk dengan pelbagai mainan kanak-kanak walaupun pada hari persekolahan

Yer la, memang la tak kisah pun pasal peperiksaan tu. Bukannya boleh masuk U pun dengan keputusan periksa darjah 1 tu. Tapi kita fikir kesian jugak kalau dia tak boleh buat kan. Bila dapat respon macam tu saya biarkan ja. Memang tak ulangkaji langsung kat rumah. Sibuk baca buku baru pinjam kat perpustakaan.

Sebab tu bila cikgu bagitau keputusan semalam, terkejut sangat. Memang tak sangka anakanda Fateh boleh dapat keputusan yang baik. Alhamdulillah, syukur pada Allah atas kurniaannya.

Rasa lega lah sekejap kan. Sekurang-kurangnya kita tau anak mampu menyesuaikan diri dalam sistem yang ada. Kalau beberapa bulan lepas saya ada rasa risau tentang perkara ni, hari ni boleh la tarik nafas lega seketika. Ke depan nanti kita tak tau lagi macam mana kan.

Jadi saya kongsi la sikit persediaan untuk anak ke darjah 1 mengikut pengalaman sendiri.

Anak boleh membaca

Pada saya elemen ini penting untuk masuk dalam sistem persekolahan di Malaysia. Kerana ia menjadi asas kepada banyak perkara. Program LINUS tu tujuannya untuk pastikan semua murid boleh membaca. Tapi saringan yang dibuat tu secara tak langsung akan menjejaskan emosi anak yang belum boleh membaca. Hari pertama persekolahan dah stress!

Namun jika anak belum boleh membaca dengan baik, ibu perlu memberi sokongan dengan cara yang betul kepada anak. Bukan paksaan.

Ibu paksa diri sendiri untuk belajar bagaimana cara yang betul membantu anak boleh membaca. Kalau betul cara sebenarnya kurang 6 bulan anak sudah boleh membaca. Nak dapatkan bantuan pihak luar boleh, tapi diri ibu itu sendiri perlu tahu bagaimana dia dapat bagi sokongan pada anak.

Anak berkeyakinan diri yang tinggi

Darjah 1 adalah kali pertama kebanyakan anak bergaul dengan kumpulan pelajar yang besar. Kecuali anak dah melalui prasekolah. Jika anak dihantar ke tadika, rata-rata bilangan pelajar kurang dari 50 orang.

Amatlah penting anak merasakan dirinya OK dalam kalangan pelajar yang ramai. Banyak benda yang boleh membawa rasa rendah diri anak. Anak rakan sekelas yang datang dengan segala kelengkapan sekolah yang mahal-mahal. Ada rakan sekelas yang sibuk bercerita baru pulang bercuti dari luar negara. Malah tak kurang juga yang sentiasa sibuk ke kelas tuisyen.

Ini semua secara tak langsung menggugat anak kita apabila dia ‘tiada’ benda tu semua. Mereka yang banyak bercakap ni kelihatan seperti pandai. Jadi sebagai ibubapa kita perlu tahu bagaimana untuk menanamkan keyakinan pada anak bahawa dia hebat dan boleh mencapai apa yang dia mahu dalam hidup.

Kerana itu kita perlu tahu apa potensi anak dan apa kemampuan yang kita ada. Fokuskan pada kelebihan ini sehingga anak sibuk dan tidak hiraukan persekitaran. Ia sangat membantu untuk anak sentiasa yakin walaupun menjalani kehidupan secara sederhana.

Anakanda Fateh sentiasa sibuk dengan aktiviti melukis dan membaca komik. Dia menanam impiannya sendiri dengan apa yang diminati

Kekuatan emosi

Kajian menunjukkan manusia yang berjaya mempunyai emosi pada tahap cemerlang. Latih anak untuk menguruskan emosinya dengan betul.

Satu contoh, semasa kecil anakanda Fateh tidak dapat menerima situasi orang marah-marah. Jika di taska kawan kena marah dia pun menangis.-_-

Ketika di darjah 1, dia sering merungut cikgu selalu marah-marah dalam kelas. Saya tidak berminat mengulas mengenai sikap guru, itu luar kawalan kita. Namun penting untuk kita fahamkan anak dengan prinsip yang betul. Biasanya cikgu marah-marah bila ada pelajar yang tak dapat ikut arahan. Saya latih Fateh berfikir, kalau dia tak buat kesalahan tu, tak perlu rasa bersalah. Cikgu marah orang lain.

Agak lama saya ambil masa untuk fahamkan dia mengenai isu ini. Kerana sikap guru ini sangat mempengaruhi minatnya ke sekolah. Alhamdulillah selepas semester pertama, saya lihat dia semakin faham mengenai isu ini. Cikgu masih marah pelajar lain, tapi dia nampak tidak terjejas.

Baru-baru ni Fateh bagitau ada kawan kelas lain selalu cakap dia bo***. Bukan mudah bagi anak usia 7 tahun untuk terima ini sebagai gurauan setiap hari. Boleh jadi akan berperang mulut malahan membawa bergaduh.

Lagi parah jika anak itu merasakan apa yang disebut kawannya itu betul. Kerana itu pentingnya membimbing anak mempunyai emosi yang betul. Bila anak bercakaran sesama adik beradik, cuba ambil kesempatan untuk fahamkan mereka bagaimana cara untuk uruskan emosi dengan betul.

Benda ini boleh difahami seawal anak usia 5 tahun in syaa Allah.

Rehat yang cukup

Seringkali berlaku, kanak-kanak tidak mendapat rehat secukup terutama dari segi waktu tidur. Saya tidak pasti sejauh mana perlu padatkan jadual anak sekecil 7 tahun untuk pelbagai perkara.

Saya secara peribadi tidak melihat keperluan yang mendesak untuk hantar anak ke kelas KAFA pada usia 7 tahun. Ini adalah hasil penilitian saya dengan silibus dan perbincangan dengan ibu berpengalaman yang lain.

Jadual anakanda Fateh mudah. Pagi ke sekolah hingga pukul 1, singgah solat zohor di masjid. Balik makan tengahari dan rehat-rehat. Petang dia akan buat kerja rumah jika ada. Selepas asar turun bermain di padang. Makan malam kadang sebelum maghrib, kadang selepas.

Bermain di padang permainan
Bermain adalah cara terbaik untuk menstabilkan emosi kanak-kanak

Selepas solat maghrib, mengaji dan kami membaca bahan untuk pemantapan akidah, akhlak dan Fekah anak-anak. Masa itu juga kami peruntukkan untuk berbincang mengenai bahan bacaan.

Selepas solat isya’, anakanda Fateh dah bersedia untuk masuk tidur. Kebiasannya dia dapat tidur antara 8-9 jam. Sangat cukup untuk usia 7 tahun.

Dia akan bangun pagi dengan segar dan penuh dengan pelbagai soalan KBAT sejak subuh hari. -_-

Kalau tengok jadual harian Fateh ada rasa kesian tak?

Takda kan. Sama ja dengan jadual harian kita dulu. Jadi kalau orang selalu cakap kesian budak-budak sekarang terbeban dengan aktiviti harian, saya tak setuju. Kerana kita masih ada pilihan. Jika terbeban dengan silibus tu sayaa tak nafikan.

Mungkin ada cakap takpa lah saya kerja sendiri. Ya, saya kongsi ni bukan nak sakitkan hati ibu bekerja di pejabat. Kita sama sahaja, ada cabaran masing-masing. Cuma saya nak kongsi sebenarnya kita boleh bagi kelonggaran masa kepada anak-anak sebagaimana kita lalui dulu.

Kalau ada pilihan transit selain kelas kafa, pilihlah tempat itu. Biarkan anak lalui hari lepas persekolahan tanpa kelas formal. Yang penting kita nak anak boleh baca Al Quran dan disiplin amalan sebagai muslim. Kalut-kalut hantar anak pergi Kafa, solat zohor pun tak. Betul ke tindakan kita tu?

Lepas tu sebelah malamnya tak perlu lah sampai kita hantar anak ke kelas akademik lagi. Kita sendiri pun dah cukup letih dengan aktiviti harian, kenapa kita perlu tekan anak sampai macam tu.

Lihatlah pada tubuh kecil anak itu, dan fahamilah mereka. Hantar anak untuk belajar dalam keadaan letih hanyalah menambah tekanan. Lebih banyak kesan negatif dari positif.

Berlari untuk membuang tenaga
Berlari dapat membuang tenaga yang tidak diperlukan dan secara tidak langsung akan menstabilkan emosi kanak-kanak

Selain hantar ke kelas tuisyen, ada ibubapa suka mengusung anak keluar makan di luar, keluar beli barang. Itu semua pantang besar bagi kami sekeluarga. Tak boleh ke kalau suami atau isteri pergi sendirian. Diangkutnya semua anak sampai pukul 10 masih di pusat menbeli belah. Pukul berapa anak nak tidur?

Ya, kembalilah bagaimana norma kehidupan semasa kita membesar dulu. Rumah menjadi tempat utama untuk segala aktiviti harian.

In syaa Allah, ibu-ibu tak perlu terlalu bimbang jika anda sudah praktiskan apa yang saya kongsikan ini. Masuk darjah 1 itu memang perjalanan yang besar untuk si anak, tapi usahlah kita terlalu besar-besarkan sehingga menjadi sukar.

Yang lebih penting, kita tidak menilai anak hanya berdasarkan apa yang tercatat di atas kertas. Sistem peperiksaan tidak menilai kecerdasan manusia secara menyeluruh. Bersyukur dengan apa jua anugerahNYA, dan terus beri peluang anak buat apa yang dia minat.

Jauh lagi perjalanan anak itu dalam meneroka ilmu. Marilah kita bina asas akidah dan cara hidup muslim sebaiknya dalam diri anak. In syaa Allah biar apa pun cabaran mendatang, anak akan dapat sesuaikan diri sebaiknya.

Jom amal!

 

Previous articleRawat Anak Batuk Tanpa Nebulizer
Next articlePengasuh Komplen Anak Agresif?
Ibu kepada 2 orang cahaya mata. Sangat berminat dengan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Menulis hasil dari pembelajaran sendiri dan pengalaman. Membekalkan produk pendidikan kanak-kanak untuk aktiviti homeschool. Boleh dihubungi melalui sms/whatsapp : +60194715407.
SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here