Ketenangan adalah apabila kita kembali kepada fitrah. Salah satu ruang untuk mendapat ketenangan adalah dengan kembali kepada alam semula jadi. Alam semulajadi yang masih terpelihara dari pembangunan melampau akan membuahkan ketenangan dan melapangkan fikiran.

Bukan kita sahaja yang sukakan suasana yang tenang. Anak-anak kecil yang masih suci amat suka dengan alam semulajadi lantaran fitrah mereka yang suci. Setiap kejadian alam akan diteliti dan muncul satu demi satu persoalan yang akan membina pengetahuan yang luas mengenai alam. Proses pembelajaran begini jauh lebih berkesan berbanding mengadap buku teks di dalam bilik darjah.

Setiap kali pulang ke Alor Setar, antara tempat yang menjadi destinasi wajib ialah Taman Jubli Emas di Jalan Suka Menanti, Alor Setar. Taman ini dibangunkan sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 15 Julai 2008. Sejak taman ini dibuka, ia menjadi lokasi kegemaran ibubapa membawa anak-anak bersiar-siar pada waktu petang.

Asalnya aktiviti utama di sini ialah memberi makan ikan tilapia di dalam tasik buatan ini. Rata-rata pengunjung membawa anak-anak kecil merasai keseronokan melihat ikan berebut-rebut makanan yang diberi. Aktiviti ini sungguh melekakan anak kecil.

Apabila semakin ramai pengunjung, usahawan belon buih mula membuka meja di sini. Perkhidmatan sewa alat bermain buih tumbuh dengan rancak dengan peningkatan bilangan pengunjung. Pelbagai bentuk belon buih yang terhasil mengikut jenis alat. Kadar sewa setiap alat antara RM2 – RM5 termasuk sebekas air sabun.

Bila belon buih mula berterbangan, maka anak-anak kecil pun mula berlari-lari mengejar belon di padang yang luas. Suasana menjadi meriah dengan gelak ketawa dan tak kurang juga tangisan anak-anak yang terjatuh. Ibubapa pula sibuk menikmati pelbagai makanan ringan yang dibungkus dari gerai jualan. Bukan anak ja yang tak nak balik, mak ayah pun rasa nak berlama-lama di situ.

Tapi makin lama melepak, makin tinggi juga kos aktiviti santai ni. Ini kerana makin hari, pelbagai aktiviti riadah berbayar mula wujud di sekitar tasik ini. Antara yang menarik perhatian ialah kereta kuda yang membawa penumpang mengelilingi tasik buatan ini. Kereta kuda yang dihias meriah yang diiringi bunyi muzik ini turut menarik minat pengunjung untuk mencuba. Bayaran untuk seorang kanak-kanak ialah RM2 dan dewasa RM3.

Perkhidmatan untuk menaiki kuda juga disediakan. Anda akan dibawa mengelilingi tasik buatan ini oleh penjaga kuda. Oleh kerana anak tak pernah minta naik kuda pun, jadi kami hanya mengisi masa dengan melihat kuda makan rumput sambil menggoyangkan tocangnya yang lebat.

Di satu bahagian, usahawan penyewa kereta mainan elektrik pula memulakan operasi. Pelbagai bentuk kereta dan motor sewa disediakan. Dari segi keselamatan kurang menyakinkan kerana ia berkongsi padang dengan pemain belon udara yang dikendalikan menggunakan kereta mini go kart. Masing-masing fokus pada keseronokan, laju pula tu. Macam-macam boleh jadi.

Pada bahagian jalan masuk ada rumah pelampung spongebob. Sebelum ni pernah juga bagi anak masuk, tapi sebab tiada kawalan bilangan orang yang masuk jadi padat sangat dalam tu. Ruang kecil sangat. Suami saya angkat Faqihah keluar dari tepi ja. Kalau tak ramai ok la.

Selepas letih bermain boleh la menikmati pelbagai makanan ringan yang ada di gerai-gerai. Anak-anak saya biasanya hanya minta air atau aiskrim ja. Makanan segera semua tu dia dah tau dah jawapan ummi, nanti kita balik masak kat rumah. 😛 Bukan berkira duit, tapi memastikan makanan yang baik-baik saja menjadi darah daging anak-anak in syaa Allah.

Begitulah sepetang di Taman Jubli Emas Alor Setar diisi. Pelbagai pilihan yang terbentang, namun bergantung kepada ibubapa bagaimana mahu mengurus permintaan anak-anak. Boleh saja bawa anak berseronok di bahagian padang permainan nya yang percuma.

Bagi saya, letakkan had dalam anak berbelanja. Kalau dah main belon, mainan lain kita cuba lain kali pula. Itulah pentingnya kita jujur dalam berjanji dengan anak-anak. Anak-anak tidak diajar terlalu bermewah-mewah, dalam masa yang sama pandai untuk mengurus diri apabila mahu berbelanja kelak. In syaa Allah.